1974: Haji pertama naik MAS

0
221

SEBELUM penglibatan Malaysia Airlines dalam membawa jemaah haji negara yang bermula pada tahun 1974, pesawat sewa khas dari Pakistan dan Sudan digunakan pihak pengurusan Tabung Haji.

Pesawat pertama Malaysia Airlines membawa jemaah haji berlepas ke Tanah Suci pada 6 Oktober 1974 sekali gus menandakan bermulanya sejarah penglibatan syarikat penerbangan kebangsaan negara itu.

Turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang menghantar kumpulaan jemaah berkenaan, Menteri Tanah dan Galian Serta Tugas-Tugas Khas, Datuk Muhamad Asri Muda.

Pada tahun tersebut, 3,200 atau kira-kira separuh jemaah jemaah haji Malaysia mula menggunakan pesawat udara, manakala bakinya menggunakan pengangkutan laut.

Petikan artikel Majalah Islam 15 November 1974 mengenai pelepasan jemaah haji menggunakan MAS. Turut kelihatan Muhammad Asri Muda

Dari segi kos tentulah wujud perbezaaan yang mana ini menjadi pertimbangan para jemaah utama ketika itu.

Memetik laporan Majalah Al-Islam keluaran 15 November 1974, perkhidmatan pesawat udara menjadi pilihan pegawai kerajaan dan ahli perniagaan antaranya atas faktor masa.

Keseluruhannya, terdapat 21 penerbangan membawa jemaah haji pada tahun pertama Malaysia Airlines terlibat.

Daripada artikel Majalah Al-Islam itu, setiap satu penerbangan sewa khas itu membawa 169 jemaah.

Perjanjian penyediaan penerbangan sewa khas itu ditandatangani pada Ogos 1974 melibatkan nilai RM3.2 juta.

Terdahulu, pada tahun 1972, jemaah haji Malaysia diterbangkan ke Tanah Suci menggunakan pesawat sewa khas milik Pakistan International Airlines dan Sudan Airlines.

Tahun tersebut, 1,000 jemaah menggunakan kapal udara manakala pada 1973, Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) memeterai perjanjian dengan Donalson International Airlines bagi membawa 2,700 jemaah menggunakan pesawat Boeing 707.

Bermula tahun 1977, pesawat Malaysia Airlines menjadi pengangkutan tunggal membawa jemaah haji negara sehinggalah pada 1997.

Berdasar artikel Majalah Al-Islam itu, penggunaan pesawat Malaysia Airlines banyak membantu melicinkan urusan pengangkutan jemaah sekali gus mengelakkan berulangnya isu terkandas dan masalah jadual penerbangan.

Artikel dari Majalah Al Islam mengenai musim haji 1974

Ini apabila perjanjian dimeterai dengan pesawat syarikat lain sebelum kemudian bersambung semula lima tahun kemudian perkhidmatan Malaysia Airlines.

Insya-Allah jika semuanya mengikut perancangan, pesawat jemaah haji pertama negara akan berlepas ke Tanah Suci pada 12 Jun 2021.

Sebagai perbandingan, pada tahun 2019, seramai 30,200 jemaah Malaysia mengerjakan haji dengan menaiki 81 penerbangan sewa khas iaitu 40 pesawat Malaysia Airlines dan 41 pesawat Flynas dengan penerbangan terakhir pada 4 Ogos nanti.

Penerbangan jemaah haji itu membabitkan lapan lapangan terbang utama di negara ini KLIA; Alor Star, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.