KUALA LUMPUR – Pas yang dianggap oleh sesetengah pemimpin UMNO ‘bermain dalam dua kolam’ apabila menjalinkan kerjasama dengan parti itu melalui Muafakat Nasional (MN) tetapi pada masa menjadi komponen Perikatan Nasional (PN) menegaskan, tidak mahu terlibat atau dilibatkan dengan sebarang polemik yang membawa negara kepada kancah perpecahan.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu bertekad memperkasakan gagasan MN di samping mempertahankan kerajaan PN.
‘’Pas berpandangan semua pihak perlu komited, jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan pemerintahan dan pentadbiran negara terutama di zaman dunia umumnya berada dalam keadaan amat sukar,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan Takiyudin itu dibuat selepas beberapa pemimpin UMNO mendesak Pas menyatakan pendirian sama ada mahu kekal dalam MN atau mahu bersama PN.
Takiyudin berkata, Pas menyeru rakan-rakan politik terutama di pihak kerajaan agar terus berlapang dada, bertolak ansur serta mengambil iktibar daripada peristiwa lampau demi maslahat rakyat yang memerlukan kepimpinan yang baik dan berintegriti.
“Pas amat percaya hanya perpaduan yang sejati dan ikhlas sahaja mampu membawa kepada pembinaan negara yang harmoni, maju, bersatu padu serta saling menerima dan hormat menghormati antara rakyat pelbagai kaum, agama, adat resam dan budaya di negara kita yang tercinta ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata Pas tegas berpandangan aspek perpaduan amat penting dalam proses bina negara demi kepentingan rakyat.