KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan UMNO dilayan bagaikan ‘anak tiri’ biarpun memainkan peranan besar ‘mendokong hidup’ Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sambil menyifatkan apa yang berlaku sebagai putaran ganas kehilangan keyakinan diri bekas Presiden UMNO itu berkata, jika ahli-ahli parti tersebut menerima apa yang berlaku sepanjang sembilan bulan ini sebagai kebiasaan atau realiti baru, mereka sebenarnya ‘membunuh’ UMNO secara perlahan-lahan.

‘’Jika UMNO berterusan seperti hari ini dengan hanya menjadi salah satu komponen parti pemerintah walaupun memainkan peranan besar bagi mendokong hidup kerajaan yang ada tetapi ibarat dilayan sebagai anak tiri maka tunggulah pengakhiran UMNO,’’ tegas beliau.

Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian di mesyuarat bahagian tersebut di Pekan hari ini yang disiarkan secara langsung melalui Facebook beliau.

Kenyataan Najib itu dilihat senada dengan pendirian beberapa pemimpin UMNO yang mahukan parti tersebut keluar daripada Kerajaan PN dan memutuskan hubungan politik dengan Parti Bersatu yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden.

Najib berkata, UMNO harus keluar daripada putaran ganas kehilangan keyakinan diri untuk membina kejayaan baru yang berterusan.

“Jika kita terus kekal dalam putaran ganas kehilangan keyakinan ini, maka UMNO akan berakhir sebagai parti politik berpengalaman,’’ katanya.

Sehubungan itu Najib mengingatkan, sama ada ketika Parti Perikatan dahulu dan kini bersama Barisan Nasional (BN), UMNO merupakan parti induk dalam kedua-dua organisasi tersebut.

‘’Kita dalam UMNO menerajui agenda dan hala tuju bukan seperti hari ini menjadi parti pendokong dan parti pengikut, asalkan ada jawatan menteri sudah gembira walaupun kualiti portfolio tidak sepadan dengan sumbangan UMNO kepada kekalnya kerajaan yang ada,’’ katanya.

Tegas beliau, pemimpin parti itu tidak harus menjadikan kedudukan dalam kerajaan ketika ini sebagai suatu kebiasaan kerana ia akan “membunuh” UMNO secara perlahan-lahan.

Najib berkata, model kerajaan PN yang ada sekarang, tidak mendatangkan kebaikan kepada negara dalam tempoh jangka panjang dan merugikan UMNO sendiri.

“Hari ini kita tidak menjadi penentu kepada dasar negara, jawatan berkaitan ekonomi dan kewangan tidak dipegang menteri UMNO. Kejayaan kerajaan menjadi kredit kepada orang lain, bukan kepada kita,” katanya.