HUJAN lebat yang berpanjangan sejak beberapa hari lalu telah mengakibatkan beberapa negeri dilanda banjir teruk.
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi entri yang dikongsikan di akaun Instagram turut menzahirkan kerisauan berkenaan situasi yang agak membimbangkan ketika ini.
“Banjir semakin teruk di beberapa negeri termasuk di Pahang. Saya mendoakan agar ujian ini dipermudahkan untuk semua yang terbabit mengharunginya
“Semoga bantuan, prihatin dan ihsan sesama kita dapat dihulurkan bagi membantu. Ayuh kita doakan agar segalanya pulih seperti sediakala,” luahnya.

Tambah Siti lagi, dia berharap mereka yang terjejas akibat banjir, dipermudahkan urusan dan seterusnya dilindungi daripada musibah dikala musim tengkujuh melanda.
“Membaca berita, melihat paparan gambar dan video banjir di sana sini, jalan rosak, rumah dan bangunan tenggelam, banyak kemusnahan, kenderaan juga terkandas.
“Ada yang berlapar, tidak dapat meneruskan perjalanan serta tidak dapat bergerak ke mana-mana, keadaan banjir dan air naik dengan cepat, begitu membimbangkan.
“Pada saat ini, marilah kita sama-sama berdoa agar ujian ini dapat kita harungi bersama-sama. Doa, tenaga, huluran bantuan dan apa yang kita mampu, termasuk pihak-pihak berkuasa yang saya pasti sedang bertugas. Semoga Allah permudahkan dan melindungi kalian,” katanya.
Malah, pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu ini turut mendoakan kesejahteraan keluarga dan kampung halaman di Kuala Lipis, Pahang dalam keadaan baik.
“Semoga hujan semakin reda, air juga akan cepat surut dan anda yang dalam perjalanan dapat sampai ke destinasi dengan selamat.
“Semoga ibu, keluarga dan orang kampung saya juga dalam keadaan yang baik serta dilindungi Allah untuk kita semua walau di mana sahaja berada,” katanya lagi.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, episod hujan lebat dijangka akan berlaku di beberapa negeri di Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Ia dijangka akan berakhir pada bulan Mac hadapan.
TONTON VIDEO PILIHAN:

