Tak pernah tanya berapa gaji isteri selama 14 tahun kahwin, hanya tahu selepas arwah meninggal dunia. Lelaki ini kongsi kisah.

0
107739

Tular di laman Facebook perkongsian lelaki yang dikenali sebagai Super daddy atau nama sebenarnya Khairul Abdullah mengenai kisah hidup bersama arwah isteri, Marleena Abdul Manaff dan bagaimana dia menguruskan kewangan keluarga.

Jelasnya, sepanjang 14 tahun melayari kehidupan berumah tangga, tidak pernah sekalipun dia mengambil tahu akan jumlah gaji yang diperoleh isteri. Baginya duit isteri adalah hak isteri. Dipasakkan dalam jiwa, walau sebesar mana gaji isteri, tanggungjawab suami adalah untuk memberi nafkah.

Malah lelaki ini lebih senang memberikan keseluruhan gajinya untuk diuruskan isteri dan hanya mengambil sedikit dibuat belanja.

Ulas bapa tunggal kepada tiga orang anak kecil ini lagi, perniagaannya pernah jatuh merosot dan tidak punya pendapatan selama setahun, namun si isteri tetap setia di sisi dan menanggung perbelanjaan keluarga tanpa sekelumit keluhan.

Jodoh tidak panjang di dunia, isteri tercinta dipinang malaikat maut pada 1 Ogos 2018 akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ. Namun arwah telah menyediakan sebuah dokumen lengkap bagi memudahkan suami menguruskan semua peninggalannya.

Ikuti perkongsian Khairul Abdullah.

“Sepanjang 14 tahun aku berkahwin, aku tak pernah tanya arwah isteri aku berapa gaji dia. Tak pernah pun aku nak curi-curi tengok slip gaji dia. Duit dia, hak dia.

“Aku kawan dengan dia waktu dia masih belajar dan aku dah kerja. Banyak aku support dia. Aku masih ingat kerja pertama dia di kedai baju, kerja di butik kerja di lawyer office dan beberapa kerja lain sebelum dia dapat kerja tetap.

“Semuanya aku tak pernah tanya berapa gaji dia dapat. Sampailah kami kahwin dan dia kerja dengan pangkat yang agak besar pun aku tak pernah ambil tahu.

“Yang aku tahu, aku kena kerja dan usaha macam biasa jugak.

“Nafkah tetap kena bagi walaupun tak dapat bagi bulan-bulan aku bagi lumpsum tiap kali aku dapat payment. Selalunya aku bagi jer semua duit yang aku dapat dan aku ambil sikit buat belanja.

“Ada ketika aku takde duit, bisnes teruk dan dia akan bantu aku. Kadang-kadang kami dua-dua takde duit, namun dia tak pernah merungut. Kami makan apa sahaja yang ada.

“Dia tak pernah berkira satu sen pun dengan aku. Ada satu tahun tu aku teruk gila, semuanya dia tanggung. Dia kata apa guna hidup bersama kalau tak dapat saling membantu dan hadap semua susah bersama.

“Dia tak pernah minta buka-bukan dengan aku sebab dia tahu aku tak mampu. Tak pernah sekelumit dia merungut atau kesal sebab kahwin dengan aku.

“Setahun sebelum dia meninggal, rezeki anak-anak barangkali, pendapatan aku agak banyak. Jadi payback time, beribu aku bagi duit belanja dan beribu juga aku bagi nafkah untuk dia. Aku anggap aku bayar nafkah tertunggak bersama dividen. Aku tinggalkan sedikit untuk aku belanja isi minyak pergi kerja.

Aku bawak dia bercuti, aku bawak dia ke tempat yang dia teringin nak pergi. Aku mewahkan dia dan anak-anak. Namun tetap aku tidak pernah tanya berapa gaji dia.

“Bagi aku, takde hak aku nak tanya pasal duit dia.

“Aku cuma tahu selepas dia meninggal, ketika menerima dokumen peribadi dia daripada pejabat. Dah siap fail dia buat untuk aku akses semua akaun dan dokumen dia.

“Aku boleh tengok semua perbelanjaan dia. Kebanyakannya untuk aku dan anak-anak. Semua anak sudah disiapkan segala simpanan masa hadapan. Untuk aku ditinggalkan hibah supaya cukup untuk aku membesarkan anak-anaknya.

“Hingga ke saat ini, duit dia masih membantu aku dan anak-anak.

“Begitulah.

“Hidup berumahtangga ni adalah tentang perkongsian, tentang kesepakatan dan juga kebersamaan. Selain kasih sayang, duit merupakan tunjang utama dalam kebahagiaan rumahtangga. Susah nak bahagia kalau takde duit ni. Cinta sahaja tak cukup.

“Duit ni juga boleh merobohkan rumahtangga. Jadi, suami isteri tak boleh berkira.

“Keduanya perlu saling membantu, berganding bahu. Jangan berkira dengan pasangan masing-masing. Sebagai suami, kita bertanggungjawab sepenuhnya. Namun, isteri harus juga memahami kadar kemampuan suami.

“Duit isteri kita tak boleh kacau melainkan dia yang bagi dan dia redha. Duit isteri adalah hak dia sepenuhnya. Duit suami, walaupun kita beli beras dan bayar sewa, duit baki tu anggaplah duit isteri juga yer.

Formulanya, duit dia duit dia, duit kita duit dia juga.”

Sumber : Facebook Khairul Abdullah

Jom ikuti channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan sensasi

Artikel berkaitan: [VIDEO] “Doktor cakap… isteri encik dah tak ada dah” – Episod 1 Dari Hati