JUMLAH transaksi Beli Dulu, Bayar Kemudian atau Buy Now Pay Later (BNPL) menerusi platform e-dagang mencecah RM9.3 bilion daripada 102.6 juta setakat enam bulan pertama tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 31 peratus berbanding dengan jumlah sebanyak RM7.1 bilion bagi enam bulan kedua 2024.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam tempoh sama, terdapat 6.5 juta pemegang akaun skim BNPL yang aktif merangkumi 80 peratus dalam kumpulan umur di antara 21 hingga 45 tahun.
Anwar berkata, jumlah baki pinjaman BNPL pula adalah sebanyak RM3.8 bilion, merangkumi 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan keberhutangan isi rumah di Malaysia.
Begitupun, katanya, jumlah BNPL yang tidak berbayar atau tertunggak adalah terkawal iaitu sebanyak RM121.8 juta atau 3.2 peratus daripada baki keseluruhan pinjaman BNPL.
Baca artikel lain: Formula 3P AKPK bimbing penggunaan BNPL bertanggungjawab
“Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu ke atas industri pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit bukan bank, termasuklah skim BNPL.
“Di bawah Akta Kredit Pengguna 2025 (AKP) kelak, syarikat yang menawarkan skim BNPL dikehendaki mematuhi keperluan pelakuan dan amalan pemberian kredit yang bertanggungjawab bagi melindungi pengguna kredit.
“Ini termasuklah menjalankan penilaian kemampuan berhutang terhadap pengguna kredit sebelum menawarkan pembiayaan; memastikan terma urus niaga yang adil; pengenaan caj atau fi yang telus, berpatutan dan tidak membebankan; serta mengamalkan tatacara pengutipan hutang yang berhemah dan profesional terhadap pengguna kredit,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah transaksi skim BNPL bermula Januari 2025 sehingga kini berbanding 2024 dan apakah langkah Kerajaan bagi memastikan pengguna khususnya generasi muda 21-40 tahun tidak terjerumus ke dalam kancah hutang isi rumah yang lebih tinggi akibat skim BNPL ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, penilaian kemampuan berhutang merupakan keperluan penting yang perlu dipatuhi oleh syarikat BNPL sebelum menawarkan kredit.
Katanya, prosedur ini perlu agar peminjam, termasuk generasi muda, mampu membayar balik wang yang dipinjam tanpa mengalami sebarang tekanan kewangan yang serius dan akhirnya terjerumus dalam perangkap hutang.
Di samping itu, jelas beliau, kerajaan juga menekankan kepentingan literasi kewangan agar rakyat bijak mengurus kewangan dan memahami risiko penggunaan BNPL secara berlebihan bagi mengelakkan beban hutang yang tidak terkawal.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

