MENYEPADUKAN data menjadi satu daripada lima ikhtiar Kerajaan MADANI menoktahkan kemiskinan dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha berterusan sentiasa diambil oleh kerajaan dalam memastikan pangkalan data baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan sentiasa kekal berintegriti.
Jelas beliau, integrasi data, semak silang serta pengemaskinian data dilakukan secara berkala dengan agensi-agensi pemberi bantuan agar inclusion or exclusion error dapat dikurangkan atau dapat diatasi.
Menurut Perdana Menteri, penting untuk memastikan semua agensi berkaitan bekerjasama dengan berkongsi data, maklumat dan sumber untuk mengenal pasti dan menyelesaikan isu kemiskinan tegar.
Perdana Menteri menegaskan, kejayaan program pembasmian kemiskinan itu bergantung kepada penggunaan sistem maklumat yang bersepadu.
Katanya, kesahihan dan ketepatan maklumat amat penting agar program yang dilaksanakan sampai kepada kumpulan sasar yang betul.
“Hasilnya, tekad Kerajaan untuk memerangi miskin tegar telah berjaya apabila tanggal 29 Julai lalu, kesemua 14 negeri telah berjaya mencapai sifar miskin tegar berdasarkan rekod locked figure eKasih iaitu seramai 126,372 Ketua Isi Rumah (KIR).
“Bagi memastikan tumpuan dan usaha yang berterusan dalam memerangi miskin tegar ini, satu set data lock figure baharu dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 telah disediakan.
“Data dinamik eKasih pada 1 Ogos lalu menunjukkan terdapat seramai 22,893 KIR miskin tegar di seluruh negara.
“Sehubungan dengan itu, 22,893 KIR miskin tegar ini dijadikan sebagai locked figure baharu yang mana data ini perlu dipantau rapi serta diambil langkah-langkah intervensi bagi memastikan ia dapat disifarkan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucapa dalam Peluncuran Simposium Kemiskinan Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, antara ikhtiar lain kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan adalah ‘memantapkan pengukuran’.
Jelas Perdana Menteri, kerajaan akan beralih kepada pengukuran kemiskinan yang lebih bermakna berdasarkan konsep Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) sebagai asas dalam mengenal pasti kumpulan sasar untuk pemberian bantuan.
Katanya, konsep NDI akan mengurangkan ralat keciciran dan bersifat lebih adil selain mengambil kira Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW).
Selain itu, ‘mereformasi dana; merubah sikap dan pemikiran serta memperkukuh tenggang’ turut menjadi ikhtiar kerajaan dalam menoktah kemiskinan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram