KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa UMNO tidak menyokong Parti Bersatu kerana Kerajaan Perikatan Nasional (PN) enggan menggugurkan kes mahkamah yang dihadapi pemimpin-pemimpin parti itu sebagai pemikiran ‘pisang goreng’.

Katanya, kenyataan Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu menunjukkan tahap pemikiran yang sempit.

‘’Kenyataan tersebut kerana kerajaan ini tidak mahu campur tangan dalam kes mahkamah, itu pemikiran yang goreng pisanglah. Dulu lobak merah, sekarang pisang goreng, (maksudnya) tiada alasan berkualiti (kukuh),’’ katanya kepada pemberita di Putrajaya seperti dilaporkan oleh Astro Awani.

Kelmarin, Ahmad dilaporkan berkata, salah satu sebab utama UMNO tidak puas hati dengan PN adalah kerana tindakan PN meneruskan kes mahkamah terhadap parti tersebut dan pemimpinnya.

Beliau berkata, perkara itu sebenarnya mengatasi rasa tidak puas hati UMNO dalam soal agihan jawatan dalam kerajaan.

“Satu lagi rasa tidak puas hati ialah bukan kerana jawatan sangat, tetapi kerajaan sekarang meneruskan kezaliman kerajaan dahulu. Ini tak wajar dibuat. Kes-kes yang dibawa ke mahkamah ini ialah kezaliman zaman (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad, (bekas peguam negara)Tommy Thomas dan (bekas ketua pesuruhjaya SPRM) Latheefa Koya.

“Mahathir dah tak ada dalam kerajaan, Tommy Thomas tak tahu ke mana, Latheefa Koya pun tak tahu pergi mana. Tetapi kenapa kes yang mereka bawa ini diteruskan?” soalnya dalam satu dialog.

Mengenai desakan diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Khairy menegaskan, tindakan segelintir pemimpin UMNO mahukan pilihan raya itu diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini disifatkan sebagai pendirian tidak bertanggungjawab.

Ini kerana, kata beliau, keadaan semasa penularan Covid-19 masih tidak sesuai untuk pilihan raya diadakan.

‘’Sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dan melihat kepada data-data jangkitan (Covid-19) dan sebagainya, saya juga tahu bahawa kalau kita adakan pilihan rayan umum, ini akan menyebabkan risiko yang tinggin kepada kesihatan awam. Jadi sebab itu saya lihat bukan hanya akar umbi UMNO, tetapi rakyat secara keseluruhan tidak ingin diadakan pilihan raya umum.

‘’Ada segelintir ahli-ahli politik yang masih lagi mahu mengadakan pilihan raya umum, saya rasa, itu pendirian tidak bertanggungjawab,’’ katanya.

Khairy menegaskan, hujah bahawa Singapura, New Zealand dan beberapa negara lain mengadakan pilihan raya adalah tidak wajar.

‘’Saya rasa itu tidak boleh dibuat perbandingan. Skala mereka tidak sama dengan kita, kedua pematuhan SOP kita semasan Pilihan Raya Negeri Sabah telah bukti bahawa kita tak dapat mematuhi SOP, terutamanya ahli-ahli politik, sebab itu saya rasa tidak sesuai untuk kita buat perbandingan,’’ katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamid sebelum ini menggesa PRU-15 disegerakan kerana mendakwa kerajaan sedia ada sangat rapuh sehingga membimbangkan pelabur untuk datang ke negara ini.

Kata beliau, setakat ini lebih 30 buah negara, termasuk Amerika Syarikat telah mengadakan pilihan raya umum ketika mereka berdepan penularan Covid-19.