vaksin

KUALA LUMPUR – Pendaftaran secara bersyarat bagi vaksin COVID-19 keluaran syarikat Pfizer, “Comirnaty Concentrate for Dispersion”, telah diluluskan untuk kegunaan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Twitter dan Facebook rasminya berkata, pendaftaran vaksin itu diluluskan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-352 yang bersidang hari ini.

“Pun begitu syarikat masih perlu mengemukakan beberapa data penting dalam tempoh masa yang ditetapkan sebelum ianya dibenarkan untuk digunakan,” katanya seperti dilapor Bernama.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menerusi Twitter rasmi beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atas keputusan bagi pendaftaran bersyarat untuk vaksin COVID-19 keluaran Pfizer itu.

“Saya baru dimaklumkan oleh @DGHisham bahawa NPRA telah meluluskan pendaftaran bersyarat untuk vaksin Pfizer. Kami masih menunggu untuk beberapa maklumat tambahan daripada Pfizer.

Tahniah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di atas pendaftaran yang cepat,” katanya.

Sehingga ini Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Pfizer dan BioNTech untuk memperoleh 12.8 juta dos vaksin. Negara juga bakal menerima 6.4 juta lagi dos vaksin daripada AstraZeneca selain daripada beberapa lagi pembekal.

Hari ini di Singapura, Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong menerima suntikan pertama dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.

Lee Hsien Loong akan mendapat dos kedua tiga minggu lagi./ Gambar FB PM Singaoura

Lee dalam catatan Facebooknya berkata, beliau menerima suntikan itu bersama Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu, Profesor Madya Kenneth Mak.

“Kami menerima suntikan vaksin awal untuk menunjukkan kepada rakyat Singapura bahawa kami yakin vaksin berkenaan selamat dan berkesan,” demikian catat perdana menteri