Ronald Kiandee melancarkan Kalam Anti Rasuah MAFI (KARMA) 2021-2025 - mekanisme tangani rasuah peringkat kementerian di Putrajaya hari ini. / Gambar FB MADA

PUTRAJAYA – Amaran kepada ‘kartel daging’, permit import (AP) mereka dibatalkan jika terlibat bawa masuk daging sejuk beku secara seludup.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya tidak akan melindungi syarikat AP dan kakitangan kementerian yang terbabit dengan penyeludupan pengimportan daging beku ini.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) juga sedang dalam proses meneliti senarai syarikat pemegang AP dan sekiranya terbabit kementerian itu tidak akan teragak-agak membatalkannya.

“Kalau mereka melanggar syarat atau didapati bersalah dalam penyeludupan dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), kita akan ambil tindakan.

“Semua agensi bawah kementerian ini akan terus menggiatkan usaha bagi membendung kartel penyeludupan daging beku ini,” katanya kepada media selepas menyampaikan amanat di kementeriannya seperti dilapor BH Online hari ini.

Bagaimanapun, Ronald berkata, pihaknya masih menunggu dan akan bertindak membatalkan AP syarikat terbabit dalam isu itu selepas mahkamah memutuskan pihak bersalah.

Katanya, ia berikutan beberapa kes masih dalam tindakan mahkamah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga masih menjalankan siasatannya.

“Kementerian tidak akan melindungi dan bertolak ansur dengan syarikat AP dan kakitangan kementerian yang terbabit dengan penyeludupan pengimportan daging beku ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan kartel dipercayai menyogok sesetengah kakitangan kerajaan termasuk pegawai kanan agensi tertentu, bagi melepasi pemeriksaan bekalan daging import yang diragui status halalnya di pintu masuk negara.

Ronald berkata, setakat ini pihaknya masih belum membatalkan sebarang AP syarikat terbabit, namun pihaknya berharap siasatan secara menyeluruh dapat diteruskan supaya kes itu dapat diselesaikan segera.

Terdahulu, beliau melancarkan Kalam Anti Rasuah MAFI (KARMA) 2021-2025, sebuah pelan yang dibangunkan khusus sebagai usaha memerangi rasuah di kementerian terbabit.