Merosot 80 peratus, Presma rayu benarkan dua pelanggan semeja

Dari Penulis

KUALA LUMPUR – Perniagaan makanan di restoran merosot 80 peratus sejak kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan kali kedua (PKP 2.0) di enam buah negeri bermula hari ini.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mendakwa, lebih 4,200 ahlinya yang juga pengusaha restoran terkesan dengan pelaksanaan PKP 2.0.

Menurut Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, hasil pemerhatian pihaknya mendapati, pelaksanaan PKP 2.0 juga telah menjejaskan pendapatan ahli-ahli Presma di negeri-negeri yang terlibat.

Sehubungan itu, Jawahar memohon kepada kerajaan agar memberi kelonggaran kepada operasi restoran dan penyedia perkhidmatan makanan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti sebelum ini.

Tak boleh makan di kedai, hanya bungkus. Gambar hiasan

Memetik laporn portal Astro Awani, antara kelonggaran yang diharapkan Presma, kata Jawahar ialah menghadkan jumlah pelanggan kepada dua orang setiap meja.

“Cadangan ini berdasarkan pengalaman ketika PKP kali pertama tahun lalu yang terbukti berkesan mengekang penularan wabak serta membantu ekonomi pengusaha restoran.

“Kami berasa sedih dan kecewa kerana terdapat ramai dari kalangan ahli kami yang terpaksa menggulung tikar terkesan dari PKP 1.0 sebelum ini.

“Keadaan ini memberikan sedikit kegusaran kepada para peniaga apabila kerajaan memperkenalkan PKP 2.0 (justeru) kami amat berharap agar sedikit kelonggaran diberi kepada para peniaga,” kata Jawahar dalam kenyataan media pada Rabu.

Dalam masa sama, beliau berkata, Presma juga memohon kepada kerajaan agar membenarkan waktu operasi restoran dilanjutkan dari pukul 6 pagi hingga 10 malam.

Pengusaha restoran nasi kandar rayu beberapa perkara untuk pertimbangan kerajaan. / Gambar hiasan dari media sosial

Lanjutan waktu operasi kepada 10 malam berbanding 8 malam sebelum ini adalah bagi membolehkan orang ramai mendapatkan makanan pada waktu malam.

“Ini kerana, pelaksanaan pada hari pertama menunjukkan masih ramai yang ingin membeli makanan selepas jam 8 malam atas faktor kerja dan sebagainya,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Presma, kata beliau, berpuas hati dengan pematuhan SOP dalam kalangan ahlinya dan akan terus memastikan pematuhannya demi kebaikan bersama.

“Ahli-ahli Presma yang terbabit di negeri-negeri PKP juga, jelas Jawahar, komited untuk mematuhi arahan dan SOP ditetapkan bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian COVID-19.

“Selain itu, Presma juga akan terus bersama-sama kerajaan membantu petugas barisan hadapan menerusi program tanggungjawab sosial korporat bagi memastikan kita semua bebas dari wabak pandemik ini.

“Inisiatif seperti pusat aduan One Stop Centre seperti yang pernah dijalankan sebelum ini juga akan diteruskan bagi menyalurkan masalah rakyat kepada pihak berkuasa,” kata beliau yang juga pengasas rangkaian restoran Ali Maju itu lagi.

PKP 2.0 yang diumumkan kerajaan untuk tempoh 14 hari bermula hari ini hingga 26 Januari melibatkan negeri Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

LRT3 nadi mobiliti dua juta penduduk koridor barat Lembah Klang

PERKHIDMATAN Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer memperkukuh jaringan rel di Petaling Jaya, Shah...

More Articles Like This