Sukar untuk melihat Rasulullah s.a.w tertawa apatah lagi terbahak-bahak.  Bagaimanapun, Rasulullah s.a.w seorang yang pemurah dengan senyuman. Lantas dengan sesiapa pun, hatta kanak-kanak, senyuman tidak pernah lekang dari bibir Baginda. Itulah indahnya akhlak Rasulullah s.a.w. sehingga semua orang senang mendekatinya.

Namun ada ketikanya, Rasulullah s.a.w ketawa bila terkenangkan sesuatu peristiwa. Bagaikan ada sesuatu yang terkesan di hati Baginda sehingga membuatkannya tertawa.   Antara peristiwa yang mencuit hatinya ialah gurauan Nu’aiman bin Amru, sahabat yang terkenal dengan kelucuannya. 

Dalam peristiwa itu Rasulullah ketawa apabila Nu’aiman mengenakan sahabatnya yang turut sama dalam rombongan dagangan Saidina Abu Bakar as-Siddiq ke Basrah, iaitu Suwaith Haramalah. 

Semuanya bermula apabila permintaan Nu’aiman untuk meminta makanan, tidak dibenarkan oleh Suwaith yang diamanahkan untuk menjaga hal makanan. Berasa terkilan dengan tindakan Suwaith, Nu’aiman pun berjumpa dengan sekumpulan kaum dan menawarkan hamba yang hendak dijualnya. Kata Nu’aiman, hamba tersebut sangat pandai berbicara dan sudah tentu apabila mereka membelinya kelak, ‘hamba’ berkenaan pastinya tidak mengaku dia sebagai hamba.

Nu’aiman kemudian mengingatkan kaum tersebut, andai ‘hamba’ berkenaan berkata demikian, maka tinggalkanlah dia dan jangan diapa-apakan. Malangnya, kaum berkenaan masih mahu membelinya dan tidak mahu meninggalkan Suwaith. Maka berlakulah jual beli tersebut. Serban Suwaith yang dipakainya akhirnya ditanggalkan dan disangkutkan di leher.  Suwaith akhirnya dibawa oleh kaum tersebut. 

Tatkala Abu Bakar bertanyakan di mana Suwaith, maka Nu’aiman menceritakan apa yang berlaku. Tanpa berlengah, Abu Bakar mengejar kumpulan kaum tersebut lalu menebus kembali Suwaith. Lalu bebaslah Suwaith. Peristiwa tersebut sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w, lalu Baginda tertawa di atas perlakuan lucu Nu’aiman mengenakan Suwaith. Sejak dari itu, setiap kali bertemu dengan Nu’aiman, Rasulullah pasti akan tersenyum mengenang kembali bagaimana Nu’aiman mengenakan  Suwaith. 

Syaitan memuntahkan makanan

Satu lagi peristiwa yang membuatkan Rasulullah tertawa dan tersenyum apabila Baginda melihat sendiri bagaimana seorang hamba menjamah makanan tanpa menyebut Bismillah.  Namun apabila sampai ke suapan terakhir, hamba berkenaan teringat bahawa dia lupa untuk melafazkan Bismillah di awal suapan. Lantas, dengan serta-merta hamba berkenaan membaca “Bismillahi awwali wa aakhiri” (Dengan nama  Allah di awal dan di akhirnya). 

Tiba-tiba Rasulullah tertawa dan tersenyum lalu bersabda, “Tadi aku melihat syaitan ikut makan   bersamanya. Tetapi apabila dia menyebut nama Allah, syaitan memuntahkan setiap makanan yang masuk ke perutnya.”  

Bila pasir ditaburkan

Peristiwa ini berlaku di suatu petang ketika Rasulullah berdoa di padang Arafah untuk kesejahteraan umat-umatnya.  Dan sudah pasti doa Rasulullah itu dimakbulkan Allah tetapi dengan satu pengecualian iaitu tidak untuk umat-Nya yang zalim. Ini jelas sebagaimana firman Allah yang bermaksud,

Sesungguhnya Aku (Allah) telah mengampuni mereka, kecuali yang zalim. Aku akan mengambil hak orang yang dizalimi daripadanya.”

Mendengar jawapan daripada Allah, Rasulullah berdoa lagi,

Ya Tuhanku, apabila Engkau kehendaki orang yang dizalimi diberikannya syurga dan Engkau mengampunkan orang yang zalim.” 

Sehabis doa tersebut dibaca, tiada jawapan yang diterima oleh Baginda. 

Rasulullah tidak pernah berputus asa.  Ketika berada di Mudzalifah, sekali lagi Rasulullah membaca doa yang sama. Ternyata kali ini, doa tersebut diperkenankan. Serentak dengan itu Rasulullah ketawa dan tersenyum. 

Melihat keadaan Baginda sedemikian, sahabat Rasulullah, Saidina Abu Bakar as-Siddiq juga Saidina Umar al-Khttab yang berada bersama Baginda lalu bertanya,

Kami korbankan segala-galanya untukmu, sesungguhnya engkau tidak pernah ketawa seperti waktu ini. Apakah yang menyebabkan engkau tertawa wahai Rasulullah! Semoga Allah s.w.t menjadikan engkau tertawa sepanjang umurmu.”

Rasulullah lalu menjawab,

Ketika musuh Allah iaitu Iblis mengetahui Allah mengabulkan doaku dan mengampuni umatku, Iblis telah mengambil pasir lalu ditaburkan ke atas kepalanya sendiri dan berkata, “Sungguh celaka dan binasalah aku.” Melihat keadaan Iblis yang ketakutan dan berada dalam kesukaran tersebut, maka itu yang membuatkan aku tertawa pada iblis itu.”  – Hadis riwayat Ibnu Majah.