Istighfar adalah satu bentuk meditasi, dalam mencapai tahap kedudukan yang tertinggi di sisi Allah s.w.t. Sesungguhnya, dalam lafaz istighfar itu, apabila diungkapkan dengan khusyuk dan penuh pengharapan, maka akan melahirkan tenaga positif dalam diri. Ini kerana, lafaz istighfar membawa maksud, memohon keampunan Allah s.w.t.  

Sekumpulan saintis dari Bioinformation Institut of A.S Popow mengumumkan penemuan mereka bahawa, organisma hidup mengeluarkan getaran tenaga berfrekuensi, antara tiga ratus hingga dua ribu nanometer. Mereka memanggilnya dengan “Medan Tenaga Bio atau Bioplasma.” 

Dan penemuan ini telah disahkan oleh Akademi Perubatan Moscow serta disokong oleh penyelidikan di Great Britain, Netherland, Jerman, Amerika dan Poland.

Terdapat juga kajian yang dilakukan terhadap medan tenaga manusia. Hasil dari kajian itu berjaya membuktikan, medan tenaga ini juga menghasilkan sinar cahaya. Mereka menggunakan alat pengesan cahaya yang amat sensitif, hingga boleh mengesan kadar gelombang cahaya serendah 350 nanometer.

Kadar sinar cahaya ini amat bergantung pada kesihatan, perasaan dan emosi seseorang. Dan yang paling menakjubkan, sinar cahaya ini juga berkaitan dengan kepercayaan agama dan spiritual seseorang. Sesuailah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim berbunyi,

Sesungguhnya umat ku akan dipanggil kelak dengan muka dan tangan yang bercahaya kesan dari berwuduk.” 

Sementara itu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Asakir dan Dailami turut menyatakan,

Istighfar itu papan catatan amal, kemilau cahayanya.”

Dr. Masaru Emoto dari Universiti Yokohama Jepun pula telah menjalankan kajian terhadap molekul air, yang berubah apabila dibacakan dengan doa. Molekul ini membentuk kristal bersegi enam dengan lima cabang daun yang berkilau. Dan apabila dibacakan dengan kata-kata yang buruk, maka molekul air tersebut membentuk pula kristal yang buruk sifatnya.

molekul air berubah menjadi kristal yang cantik berkilau saat dibacakan doa

Jika kita lihat, sel-sel tubuh memerlukan air sebagai sumber utama, dengan membentuk 70 peratus dari tubuh adalah air. Oleh itu dapat disimpulkan, makanan dan minuman yang baik, akan membentuk sel-sel yang baik. Dan sel-sel yang baik ini pula akan bergetar mengeluarkan tenaga.

Perubahan getaran bioplasma, dan sinar cahaya oleh tenaga pula telah dibuktikan secara saintifik berkait rapat dengan kesihatan, fizikal, emosi, psikologi dan kerohanian seseorang.

Ini menunjukkan, setiap ungkapan yang keluar dari mulut, turut mempengaruhi diri dan keadaan sekeliling. Apatah lagi tubuh ini terdiri dari unsur-unsur cecair seperti darah yang mengalir. Maka apabila kita melazimkan  zikir dalam kehidupan harian, ia secara langsung akan membersihkan hati dan membentuk diri menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat.

Dengan melazimkan istighfar, kita sebenarnya mampu memiliki tenaga yang sangat hebat dalam diri, sehingga segala persoalan, permasalahan dan penyakit kehidupan dapat diatasi dengan sendiri.

Istighfar menghapuskan dosa walau seluas lautan dan dijauhi dari gangguan syaitan

Berdasarkan janji-janji Allah s.w.t. istighfar mampu melahirkan tenaga dan memberi kebahagiaan dunia akhirat kepada sesiapa yang mengamalkannya. Antara kelebihan bagi mereka yang memperoleh tenaga istighfar berdasarkan dalil ialah:

Menghapuskan Dosa

Mereka yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat, maka segala dosanya walau sebanyak buih di lautan, akan tetap diampunkan Allah. 

Firman Allah dalam surah al-Imran: 135 “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya).”

Mengusir Syaitan

Tenaga dari istighfar mampu membentuk perisai di sekeliling tubuh, dalam usaha menghalang gangguan syaitan.

Terdapat riwayat yang menyatakan, seorang lelaki telah datang menemui Baginda s.a.w. dan berkata, “Sesungguhnya aku telah melakukan dosa.

Bersabda Baginda s.a.w., “Mohonlah ampun kepada Allah”

Seterusnya lelaki tadi berkata, “Sesungguhnya aku telah bertaubat kemudian aku mengulanginya lagi”

Lalu Baginda bersabda lagi, “Setiap kali kamu melakukan dosa maka mohonlah ampun kepada Allah.”

Lelaki itu berkata lagi, “Jika demikian dosa ku bertambah banyak”

Kemudian Rasulullah bersabda, “Allah akan mengampunkan yang lebih banyak dari itu. Teruslah kamu bertaubat sehingga syaitan itu terusir dari mu.

Meluaskan Rezeki

Maka aku berkata kepada mereka, “Mohonlah keampunan kepada Tuhan mu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepada mu. Dan dia memperbanyakkan harta dan anak-anak mu, dan mengadakan kebun-kebun untuk mu dan mengadakan sungai-sungai untuk mu. Surah Nuh: 10-12

Melenyapkan Kesempitan

Sabda Rasulullah s.a.w. “Barang siapa yang memperbanyakkan istighfar, Allah melepaskan segala kesulitannya, menjadikan jalan keluar bagi kesempitannya dan mengurniakan rezeki dari sumber yang tidak diketahui.” HR Ibn Majah

Menahan Azab Allah

Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (Muhammad) ada di antara mereka dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar” Surah al-Anfal: 33

Menjadi Kekasih Allah

Sabda Nabi s.a.w., “Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah dan orang yang telah bertaubat dari dosa itu seperti orang yang tidak mempunyai sebarang dosa” HR Ibn Majah 

Tidak dikhususkan waktu untuk beristighfar. Ia bebas diungkapkan di mana sahaja tanpa mengira masa. Istighfar itu bukan untuk kepentingan Allah, tetapi khas untuk kita. Maka banyakkanlah lafaz Astaghfirullah hal A’zim supaya tenaga yang terhasil, mampu memberi kejayaan pada kita di dunia mahupun akhirat, insya-Allah.