Sebagaimana yang dikongsikan pada minggu lalu, terdapat dua sebab yang membuatkan si anak kecil kerap menangis. Pertama kerana ia memang jenis yang suka menangis. Kedua akibat dari gangguan jin.

Berkongsi pengalamannya merawat kes gangguan jin, menurut Dr. Jahid, ada satu pasangan dari Shah Alam yang sudah buntu merawat anaknya yang terlalu sering menangis sehingga umurnya mencapai usia tiga tahun.

Ramai juga bomoh dan perawat yang ditemui, akan tetapi hasilnya tetap sama. Anehnya, tatkala dijaga oleh datuk dan neneknya, anak mereka tidak pula menangis. Sebaliknya, apabila dibawa pulang ke rumah pasti akan menangis tanpa henti.

Setelah diselidik latar belakang pasangan ini, barulah diketahui yang si bapa pernah belajar ilmu persilatan sewaktu remaja.

“Saya merawat bapanya dan Alhamdulillah hanya dengan sekali rawatan, anak kecilnya sudah tidak lagi menangis” tutur Dr. Jahid Sidek.

Kes-kes sebegini sering berlaku dalam masyarakat kita. Hanya kerana kesilapan ibu bapa, anak pula yang menjadi mangsa.

Bayi yang berterusan menangis mungkin diganggu jin pendamping dari kedua ibu bapanya sendiri..

Selain daripada kes di atas, terdapat satu pasangan juga menghadapi masalah serupa. Silapnya kerana si bapa sewaktu berkhidmat dalam angkatan tentera dahulu pernah menuntut ilmu Nasrul Haq (ilmu kebal).

Walaupun dia sudah tidak mengamalkan ilmu tersebut, namun jin yang pernah berdamping dengannya dahulu masih ada dalam tubuh. Kesan dari itulah setiap kali dia bersama dengan anaknya pasti si anak akan menangis dan meraung. Tetapi ketika tidak bersama, elok sahaja si anak tidak menangis.

“Selepas beberapa kali merawat bapanya, Alhamdulillah juga, mereka sudah boleh bersama tanpa sebarang masalah”

Jin Sohibah

Sememangnya gangguan jin terhadap anak kecil boleh berlaku, sekalipun ibu bapanya tiada jin pendamping atau istilahnya dipanggil jin sohibah. Akan tetapi gangguan sebegini sangat jarang terjadi. Namun, jika ada kes sebegini ia mudah untuk dirawat.

Lazimnya, ia boleh terjadi kerana anak kecil dibawa keluar pada waktu senja, sebagaimana disebut dalam hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda,  

“Jika malam datang menjelang, atau kalian berada menjelang maghrib maka tahanlah anak-anak kalian (di rumah), kerana ketika itu syaitan sedang bertebaran. Jika telah berlalu sesaat dari waktu malam, maka biarkan mereka (jika ingin keluar). Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada Allah, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula bekas minuman dan makanan kalian walau sekadar dengan meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu kalian” HR. Bukhari & Muslim.

Jin sohibah atau jin saka adalah jin pendamping yang akan menyesatkan manusia

Jin dari barang pusaka

Selain itu gangguan tersebut boleh juga terjadi apabila anak kecil itu dilawati oleh seseorang yang punya pendamping atau juga boleh berlaku kerana ibu bapa memiliki barang-barang lama yang didiami oleh jin seperti keris, tombak, pedang, pakaian atau lain-lain lagi.

Tambah Dr. Jahid, pernah satu ketika dia didatangi seorang lelaki pertengahan umur yang meminta untuk merawat cucunya yang kerap menangis tanpa henti. Puas dia merawat kedua-dua ibu bapanya dan juga datuknya namun anak kecil itu masih tetap menangis.

Saat ditanya adakah keluarga itu punya barang lama, barulah si bapa mengaku ia ada membeli tikar lama dari Sarawak ketika berkunjung ke sana. Setelah dibakar tikar tersebut, barulah si anak kecil tidak lagi menangis dan meragam.

Dalam kes-kes sebegini masyarakat mungkin tidak sedar barang-barang lama yang dimiliki juga boleh mempunyai unsur jin. Ada kalanya para peniaga yang ingin melariskan jualan mereka akan menggunakan sihir supaya pembeli tertarik untuk membelinya. Sedangkan tanpa sedar barang tersebut sudah pun dijampi.

Oleh itu berhati-hatilah terutama ketika ingin membeli atau menerima sesuatu barang lama atau antik, kerana mungkin ada unsur jin mendiami barang tersebut. Wallahu a’lam.