Heboh seketika baru-baru ini apabila gurun Sahara yang diketahui sebagai lembah paling kering dan panas mula dituruni salji. Bahkan, cuaca di gurun itu mulai jatuh sehingga -2 darjah Selsius dan cuaca yang panas berdenting sebelum ini mula bertukar dingin.
Sebelum itu, gurun Sahara diketahui merupakan padang pasir ketiga terbesar di dunia. Iklim di gurun ini amat panas, bahkan gelombang haba di padang pasir ini mampu membuat manusia sesak nafas hanya dalam beberapa saat.
Disebabkan iklimnya yang terlalu ekstrim itu, sebuah larian maraton diwujudkan di gurun ini untuk mencabar mental dan fizikal mereka yang berani menghadapi bahang gila Sahara.
Ada sebuah kisah, tentang seorang pelari yang nyawanya hampir terkorban di gurun ini. Begini ceritanya…
Pada awal bulan Mac setiap tahun, pelari-pelari maraton dari seluruh dunia akan berhimpun di selatan Maghribi untuk menyertai acara larian paling sukar di dunia yang dikenali sebagai Marathon des Sables. Peserta harus mengharungi trek sejauh 186 batu di kawasan yang paling ekstrim iaitu gurun Sahara.

Penduduk-penduduk di jazirah Arab dan Afrika menganggap ia satu kejohanan yang gila. Masakan tidak, keadaan Sahara yang mempunyai suhu melebihi 120 darjah Celcius pada siang hari, bentuk rupa bumi yang tandus, ribut pasir yang ganas dan kedinginan malam yang membeku, sudah cukup untuk untuk menggambarkan betapa ekstremnya acara ini.
Pada tahun 1994, seramai 144 peserta dari seluruh dunia telah mendaftar untuk menyertai maraton ini. Salah seorangnya ialah bekas atlet simpanan pasukan Olimpik Itali yang juga merupakan anggota polis Sicily, Mauro Prosperi.

Sekalipun tiada pengalaman di padang pasir, Prosperi memulakan larian dengan baik. Selepas berlari lebih daripada 50 batu, dia masih berada dalam kelompok 10 peserta teratas.
Pada hari keempat, Prosperi tiba di check–point ke-20. Di situ, dia telah mendapatkan rawatan untuk kakinya yang melecur teruk akibat bahang permukaan pasir yang sangat panas. Selesai dirawat, dia mengambil sebotol air mineral dan kembali meneruskan larian.
Tanpa diduga, ketika dalam perjalanan untuk ke check-point seterusnya, laluan Prosperi telah dilanda ribut pasir. Angin kencang menyebabkan pasir berterbangan di udara sehingga pandangannya menjadi kabur. Tambah memeritkan lagi apabila butir-butir pasir yang panas menjadi seakan-akan jarum tajam yang menusuk kulit, mata, mulut dan telinga.
Peraturan utama pertandingan ini ialah sekiranya berlaku ribut pasir, peserta dikehendaki berhenti dan menunggu untuk mendapatkan bantuan.
Sebab itu, Prosperi berhenti berlari. Dia membalut mukanya dengan kain dan berhenti di tengah-tengah kekalutan itu. Bagaimanapun, dia terpaksa bergerak sedikit demi sedikit untuk mengubah kedudukan bagi mengelak daripada ditimbus oleh pasir-pasir yang dibawa ribut.
Enam jam kemudian, angin kembali reda. Namun, penanda yang dibuat untuk laluan para peserta tidak lagi kelihatan. Prosperi sedar dia telah sesat dan terkeluar dari laluan yang sepatutnya.

Sementara itu di khemah check-point, para petugas telah menyedari kehilangan Prosperi. Beliau yang sepatutnya berada di tempat ketujuh ketika itu masih tidak kelihatan. Menjelang tengah malam, pihak penganjur telah mengumumkan kehilangannya dan usaha menyelamat dilancarkan.
Di tengah-tengah gurun pasir Sahara seluas 9,100,00 kilometer persegi, Prosperi semakin hilang arah. Tiada kompas dan petunjuk menyebabkan dia sukar untuk mengesan laluan trek maraton itu. Dia hanya mampu terus berjalan mengikut gerak hatinya.