Tragedi Ouija, papan pemanggil roh yang meragut banyak nyawa

0
329

Anda pernah tonton filem Ouija yang ditayangkan pada tahun 2014 atau versi 2016? Sekali imbas, fungsi papan ini lebih kurang sama dengan permainan memanggil roh Sprits of The Coins.

Dikatakan permainan Ouija ini bermula di China. Ia tradisi kepercayaan untuk menghubungi orang yang telah mati pada zaman Dinasti Song (tahun 960 Masihi hingga 1279). Namun tradisi ini dilarang sewaktu zaman pemerintahan Dinasti Qing.

Secara ringkasnya, papan Ouija ialah permainan yang berkait dengan roh orang mati. Pada papan tersebut, biasanya terpapar nombor 0 hingga 9, huruf A sehingga Z, perkataan “Yes” dan “No”, serta “Good Bye”.

Papan Ouija.

Ia boleh dimainkan seorang, dua orang atau lebih ramai. Pemain akan meletakkan jari pada plancet (sebuah alat berbentuk hati yang akan bergerak ke arah huruf-huruf di atas papan tersebut).

Mantera dibaca. Bila roh sudah masuk, pemain kemukakan soalan. Plancet akan bergerak pada nombor, huruf dan simbol untuk memberikan jawapan.

Pada 1 Julai 1890, Elijah Bond telah memperkenalkan semula papan pemanggil roh ini sebagai alat permainan baru yang memberikan pengalaman menarik dan meneroka dunia misteri. Iklan mengenai permainan ini mula kelihatan di bandar Pittsburgh, Amerika Syarikat.

Elijah turut memohon hak paten permainan ini yang diluluskan pada 10 Februari 1891 di Washington. Malah, papan Ouija turut mendapat hak paten untuk pengeluarannya di Kanada pada 10 Mac 1891.

Papan ini mula dijual dengan harga $1.50. Permainan ini bukan sahaja mendapat sambutan pembeli, bahkan terdapat satu kes mahkamah di London turut melibatkan penggunaan papan Ouija ini.

Kesnya begini…

Pada Februari 1993, Harry dan Nicola Fuller telah ditemui mati di rumah mereka di Wadhurst, England. Seorang lelaki bernama Stephen Young telah diberkas atas tuduhan membunuh kedua-dua mangsa tersebut.

Perbicaraan kes dijalankan pada Disember 1994. Malam sebelum perbicaraan, empat orang juri yang terlibat dalam kes itu menginap di sebuah hotel yang sama. Mereka kemudian bermain papan Ouija untuk berhubung dengan roh Harry. Sewaktu mengakhiri permainan, plancet pada jari mereka sempat mengeja “Vote guilty tomorrow” (didapati bersalah esok).

Keesokan harinya, perbicaraan berjalan dan Stephen Young didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Namun, perbuatan para juri menggunakan papan Ouija terbongkar dan pihak berkuasa berpendapat keputusan juri yang dipengaruhi roh adalah tidak sah.

Lalu, Stephen Young diberi peluang untuk perbicaraan semula. Pun begitu, keputusannya sama. Dia didapati bersalah dan dihukum penjara seumur hidup buat kali kedua.