Disangka Pengintip
Dengan segala kudrat yang tinggal, Prosperi cuba sedaya upaya untuk terus hidup, walaupun hati kecilnya yakin dia akan mati. Sekiranya dia mati di dalam masjid berkenaan, sekurang-kurangnya jasad beliau akan dijumpai dan upacara pengebumian boleh dilakukan oleh ahli keluarganya di Itali.
Atas alasan itu, Prosperi mengambil sehelai kertas dan menulis nota kepada isterinya. Kemudian, dia mengambil pisau lipat dan mengelar pergelangan tangannya untuk membunuh diri. Namun, keadaan nyah-hidrat telah menyebabkan darahnya menebal dan membeku. Disebabkan itu, dia tidak mati dan hanya pengsan sahaja.
Pada keesokan harinya, Prosperi kembali terjaga dan mendapati dirinya masih hidup. Kali ini, dia mendapat semangat baru dan terus berikhtiar supaya dapat bertemu semula dengan keluarganya di Itali.
Prosperi kembali meneruskan langkah. Khemah ditinggalkan bagi mengurangkan bebanan dan menjimatkan tenaga seminimum mungkin. Apa yang dibawa hanyalah barang yang penting sahaja seperti pisau, topi, pengenalan diri, kain untuk mengelap peluh serta botol minuman yang kosong.
Perjalanannya kali ini lebih ekstrem tanpa peralatan yang lengkap. Sumber airnya hanyalah embun di waktu pagi manakala untuk mengalas perut Prosperi akan menjamah apa sahaja haiwan yang dijumpai termasuk ular, cicak dan kala jengking. Pada waktu malam pula dia akan menanam tubuhnya di dalam pasir bagi mengelak suhu gurun yang sangat sejuk.
Selepas sembilan hari melalui keperitan padang pasir, akhirnya Prosperi menemui sebuah oasis dan kolam tadahan air yang kecil. Tidak jauh dari situ, dia menemui seorang gadis penggembala yang kemudian telah mendapatkan pertolongan daripada sekumpulan orang nomad dan membawa Prosperi ke kampung berdekatan di Tuareg.
Penduduk Tuareg telah membawa Prosperi ke hospital. Namun, ketika melalui zon pemeriksaan tentera di Tidouf, Prosperi telah dituduh sebagai pengintip. Mujur kedutaan Itali telah mengesahkan bahawa beliau bukan perisik tetapi merupakan salah seorang peserta Marathon des Sables yang telah hilang.
Selepas tiba di hospital, Prosperi menyedari bahawa dia kini berada di Algeria. Dia telah menyimpang dan berjalan sejauh kira-kira 130 kilometer dari trek asalnya.
Keadaan Porsperi ketika ditemui berlumuran darah, uzur dan kehilangan berat badan hampir 16 kilogram. Prosperi turut mengalami kegagalan hati. Tetapi, dia masih mampu untuk terus hidup dan ia dianggap sesuatu yang luar biasa.

Selepas menerima rawatan selama beberapa hari, Prosperi telah diterbangkan ke kampung halamannya di Rom, Itali. Dia telah disambut bagaikan wira dan akhbar Itali telah menggelarnya sebagai ‘Robinson Crusoe Sahara’.
Walaupun hatinya rosak dan mengambil masa setahun untuk pulih, Prosperi tetap bersemangat untuk kembali beraksi dalam acara larian jarak jauh.

Tiga tahun selepas peristiwa pahit di gurun Sahara, pada tahun 1997, Prosperi kembali mendaftarkan namanya dalam kejohanan Marathon des Sables dan berjaya menamatkan lariannya dalam masa 25 hari, 30 minit dan 37 saat.

