NONA BAKER – Kelibat perawan Inggeris yang sering muncul di Sungai Lembing

0
432

Bermula sebagai sebuah bandar perlombongan yang maju pada penghujung abad ke-19 hingga pertengahan 1980-an, Sungai Lembing kemudian terbiar sepi selepas operasi melombong dihentikan lantaran harga bijih timah yang jatuh merudum.

Lombong itu ditutup pada tahun 1986, menyebabkan ribuan pekerja sama ada penduduk tempatan atau luar terpaksa meninggalkan Sungai Lembing di Kuantan, Pahang untuk mencari pekerjaan baru di tempat lain.

Rumah-rumah banglo Eropah ditinggalkan sepi. Rumah kedai pula dijual kepada penduduk tempatan manakala panggung wayang telah ditukar menjadi dewan orang ramai. Lombong bersejarah di pinggir Sungai Kenau dan dikelilingi gunung Tapis itu hanya tinggal kenangan belaka.

Pintu gerbang ke Sungai Lembing.

Tanda-tanda Sungai Lembing kembali bernafas kembali  bermula pada Jun 2001 apabila Muzium Sungai Lembing dibuka kepada umum setelah Jabatan Muzium dan Antikuiti membaik pulih rumah agam pengurus besar lombong yang usang menghadap ke arah Sungai Kenau itu.

Muzium ini asalnya dahulu adalah rumah pengurus lombong bernama V.B.C Baker. Turut tinggal di rumah ini ialah adik perempuannya yang dikenali sebagai Nona Baker. Foto kedua beradik ini turut terpampang dalam rumah ini.

Rumah pengurus lombong yang kini dijadikan Muzium Sungai Lembing.

Apabila rumah ini dijadikan muzium, sejarah Sungai Lembing dipaparkan di sini. Turut dipamerkan pelbagai artifak perlombongan dan peralatan yang pernah digunakan pada masa lampau yang telah berusia lebih 100 tahun.

Sejak muzium ini dibuka kepada pengunjung, sudah ramai yang pernah terlihat kelibat seorang wanita memakai gaun putih. Kelibat itu tampak sama seperti gambar Nona Baker. Tak kurang juga cerita penduduk setempat yang sering ternampak kelibat perawan Inggeris itu merayau-rayau di sekitar lombong tinggal itu.

Petugas muzium juga pernah diganggu panggilan telefon misteri dan pada masa tertentu beberapa peralatan seperti mesin taip lama, telegraf dan mesin kira mengeluarkan bunyi sedangkan tiada sesiapa pernah menyentuh peralatan usang itu.

Peralatan lama di muzium ini adakalanya berbunyi sendiri.

Namun, tiada siapa yang mengendahkannya. Siapakah yang menggunakan mesin taip usang itu? Siapa pula yang menggunakan telefon antik dan siapa pula yang hendak dihubungi? Mungkinkah  panggilan itu daripada V.B.C Baker untuk adiknya, Nona Baker?

Siapa sebenarnya Nona Baker yang kelibatnya sering dilihat di perkarangan muzium ini?

NONA BAKER

Nona Baker merupakan adik kandung kepada pengurus besar lombong, V.B.C Baker. Nama perawan Inggeris itu memang popular sewaktu tinggal di Sungai Lembing dan boleh berbahasa Melayu dengan penduduk tempatan.

Sebelum pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941, Nona Baker berhijrah ke Pahang semata-mata mahu menemani abangnya, V.B.C Baker yang ketika itu bertugas sebagai pengurus besar lombong bijih timah di Sungai Lembing.

Namun, tanpa disangka perawan Inggeris ini menempuh pengalaman pahit yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayatnya apabila dia bersama abangnya terpaksa melarikan diri ke dalam hutan untuk mencari perlindungan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Semasa melarikan diri ke hutan, ditakdirkan abangnya menemui ajal akibat serangan wabak penyakit dan tinggallah Nona Baker sendirian. Khabarnya Nona Baker tiada pilihan dan bergabung pula dengan pihak tentera anti Jepun di hutan.

Selepas Jepun menyerah kalah, Nona Baker dipercayai terus bersama kumpulan gerila di hutan. Sejak itulah, terdengar khabar tentang perawan Inggeris itu memperjuangkan ideologi songsangnya di samping bertanggungjawab menulis risalah subversif.

Riwayat hidup Nona Baker dibukukan bertajuk ‘Pai Naa: The Story Of Nona Baker’ hasil penulisan Dorothy Thatcher dan Robert Cross.

Buku yang menceritakan kisah hidup Nona Baker.

Antara episod yang diceritakan memoir itu bagaimana abang Nona Baker iaitu V.B.C Baker mematikan lima unit pam yang mengeluarkan air dari lombong bawah tanah yang selama ini berfungsi tanpa gagal.

Memoir itu membongkar rahsia bagaimana abangnya telah menenggelamkan lombong di Sungai Lembing ketika tentera Jepun menduduki Tanah Melayu.

Lombong bawah tanah itu diletupkan satu demi satu bagi menghalang dibangunkan semula tentera Jepun selepas Tanah Melayu ditakluki pada 1941.

Tujuan utama V.B.C Baker  bertidak begitu bagi mengelakkan Jepun mengambil alih serta mendapat hasil lumayan hasil lombong yang telah diusahakan oleh British  dan pekerja-pekerja tempatan ketika itu.

Sewaktu zaman kegemilangan perlombongan Sungai Lembing, V.B.C Baker yang merupakan pengurus besar ketika itu diberikan sebuah banglo yang diberi nama ‘The European Bungalow 1’ atau singkatannya EB1.

V.B.C Baker, pengurus lombong yang meletupkan lombong Sungai Lembing semasa pendudukan Jepun.

Di sinilah juga Nona Baker dan abangnya  menghabiskan masa sewaktu malam tiba dan cuti umum berseronok bersama rakan-rakannya di rumah kelab yang hanya dikhaskan untuk warga Eropah. Mereka minum arak, bersuka ria dan menyanyi bagi menghiburkan hati selepas penat bekerja.

Pekerja tempatan yang terdiri dari kaum Melayu dan Cina tinggal di beberapa buah rumah bersambung yang dibina di sepanjang Sungai Kenau. Kawasan ini digelar ‘Banglo Orang Asia’ yang terpisah dari kawasan kediaman orang Eropah.

Pekan Sungai Lembing pada hari ini sunyi, tidak lagi dipenuhi pesta dan keramaian seperti zaman kegemilangannya dahulu.

Pada zaman kegemilangannya, Sungai Lembing tidak pernah sunyi dari segala hiruk pikuk manusia dari Eropah dan 2,500 para pekerja dari Asia termasuk bangsa Melayu dan Cina.

Ketika itu, para pekerja lombong berpeluang membeli-belah barangan berjenama yang diimport di gudang premis syarikat itu seperti kemeja Arrow, Burdle dan kasut pula jenama Clarks dan John White yang bebas cukai, jauh lebih murah berbanding dari Kuantan atau Kuala Lumpur.

Banyak kedai menjual pelbagai barangan keperluan harian dibuka untuk menjual barangan import termasuk rokok, arak dan buah-buahan tanpa dikenakan cukai.

Nona Baker dan abangnya telah memperkenalkan suatu gaya hidup masyarakat Inggeris yang eksklusif. Rumah kelab adalah tempat untuk mereka bersosial dan keahlian terbuka kepada komuniti Eropah sahaja. Rumah kelab juga merupakan sumber maklumat terkini Nona Baker mengetahui hal ehwal Eropah kerana di sini terdapat majalah dan surat khabar seperti London Illustrated, Time dan Life.

Setiap kali tiba hari Krismas, Nona Baker dan abangnya turut mengadakan masjlis keraian di Rumah Kelab Sungai Lembing. Mereka berdua menjemput kenalan pelbagai kaum untuk menghadiri perayaan itu.

Sebagai memenuhi masa lapang, Nona Baker dan komuniti di Sungai Lembing turut berpeluang menonton filem dari Britain dan Hollywood di sebuah panggung wayang yang dibina di situ sebagai hiburan. Begitu majunya Sungai Lembing pada zaman itu berbanding bandar-bandar lain sehingga mendapat jolokan El-Derado Timur itu.

Kini, rumah banglo mewah yang diduduki Nona Baker dan abangnya masih tersergam indah, dijadikan muzium untuk dikunjungi orang awam. Jika bertuah, mungkin anda boleh ‘ternampak’ kelibat Nona Baker ketika berkunjung ke sini.