Biden angkat sumpah Presiden AS ke-46, ikrar tangani COVID-19

0
172

WASHINGTON D.C: Joe Biden sah ditabalkan sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 di Capitol Hill, Washington DC sebentar tadi.

Biden, 78, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada pukul 12.49 pagi (11.49 pagi hari Rabu waktu Washington D.C).

Dalam Pilihan Raya AS pada November lalu, calon Demokrat itu dilaporkan telah menang 306 undi elektoral dan lebih 77 juta undi berbanding Trump yang hanya memperoleh 232 undi elektoral dengan 72 juta undi.

Majlis angkat sumpah Presiden AS yang ke-59 ini dilakukan dengan penuh bersejarah, selain menyaksikan ia dilakukan dengan keadaan norma baharu ketika penularan pandemik COVID-19.

Ia juga membawa keunikan apabila Naib Presiden, Kamala Harris turut diangkat sebagai wanita berkulit hitam berketurunan Asia yang pertama mengangkat sumpah di Capitol Hill.

Namun, buat pertama kali dalam sejarah 200 tahun, upacara angkat sumpah Presiden AS kerana kehadiran orang ramai terpaksa dihadkan berikutan pandemik COVID-19.

Bekas Presiden, Donald Trump bagaimanapun tidak hadir pada majlis itu dan beliau meninggalkan Washington D.C tiga jam sebelum itu dengan terus mempertikaikan keputusan pemilihan November lalu.

Kemenangan ini adalah penantian 34 tahun Biden, yang pertama kali mencuba nasib bertanding bagi jawatan Presiden AS pada 1987 dan pada usia 78 tahun, beliau juga adalah Presiden AS yang tertua.

Sementara itu, Biden dalam ucapan sulungnya, memulakan dengan menyifatkan majlis hari ini menandakan kemenangan demokrasi.

Bekas Gabenor Delaware itu juga mengajak seluruh rakyat AS bersatu dalam memerangi apa jua cabaran khususnya pandemik COVID-19.

“Satu negara dan kita mampu menjadi lebih baik baik dari hari ini, dan sepatutnya,” katanya.

Kepada penyokong dan mereka yang bukan menyokongnya, Biden mengulangi bahawa beliau adalah Presiden untuk semua.