Di mana letaknya kategori mimpi anda? Dan persoalan yang paling utama, apa mimpi anda semalam? Kenapa persoalan ini diajukan? Kerana ia ada kemungkinannya benar lebih-lebih lagi apabila kita adalah dari golongan umat akhir zaman!
Rasulullah s.a.w. bersabda, mimpi umat akhir zaman jarang yang tidak benar. Apa yang mereka mimpi terdapat kebenaran. Hal ini jelas berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. Namun demikian, persoalannya, siapa yang mendapat mimpi benar ini? Adakah semua mimpi kita setiap malam itu adalah benar?
Mengikut pandangan Dr. Faudzinaim, untuk mengukur mimpi benar, ia melalui beberapa peringkat. Menurutnya, berdasarkan pandangan Ibnu Hajar, darjat mimpi itu dibahagikan kepada tiga golongan.
Golongan pertama ialah para anbiya (para nabi). Semua mimpi yang Nabi alami semuanya benar belaka kerana ia adalah wahyu daripada Allah. Contoh yang paling jelas, apabila Nabi Ibrahim a.s bermimpi mendapat arahan daripada Allah S.W.T. untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s.
Sementara golongan kedua ialah hamba-hamba Allah yang soleh. Golongan ini sentiasa menjaga perhubungannya dengan Allah. Atas dasar itu, maka Allah memberikan mereka kelebihan dan karomah atau kemuliaan dengan menganugerahkan kepada mereka mimpi-mimpi yang benar. Kebiasaannya mimpi-mimpi yang mereka peroleh boleh dipercayai.
Golongan ketiga ialah mimpi mereka yang selain daripada para nabi dan orang-orang soleh iaitu golongan biasa. Bagi golongan ini nisbah mimpi benar dan batil adalah sama. Mimpi orang fasiq dan orang kafir pula boleh dikatakan jarang sekali berlaku kebenarannya.
Cara beroleh mimpi benar
“Mimpi orang alim lebih benar dari orang jahil. Mimpi orang tua lebih benar dari orang muda. Tetapi semua itu bergantung kepada tahap iman mereka, ujar Dr. Faudzinaim yang menyifatkan mimpi orang yang baik adalah satu dari 46 juzuk kenabian. Oleh demikian, mimpi ini membawa makna yang tersendiri serta khabar gembira dari Allah.
Pada masa sekarang, mimpi benar ini biasanya hadir kepada mereka yang bercakap benar dan juga orang baik. Mereka adalah orang yang alim dan menjaga iman mereka.
Abu Sa’ad al-Wa’izh dalam kitab tafsir mimpi mengikut al-Quran dan Sunnah berkata,
“Untuk mendapat mimpi yang baik, seseorang itu perlulah mempunyai kesopanan yang tinggi agar mimpinya mendekati kebenaran. Di antara adab kesopanan itu ialah membiasakan diri dengan berkata jujur.”
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda dalam hadis muttafaq alaih,
“Orang yang paling benar mimpinya ialah yang paling benar perkataannya.”
Menurut Abu Sa’ad al-Wa’izh, “Pada prinsipnya mimpi yang baik itu bersumber dari aneka amal yang benar dan mengingatkan akan aneka akibat dari berbagai urusan. Dari mimpi yang baik itu muncullah aneka perintah, larangan, berita gembira dan peringatan. Dikatakan demikian kerana mimpi yang baik merupakan sisa dan bahagian dari kenabian.
Bahkan merupakan satu dari dua bahagian kenabian. Disebabkan itu ada nabi yang wahyunya berupa mimpi. Orang yang menerima wahyu melalui mimpi disebut Nabi. Adapun orang yang menerima ucapan malaikat saat dia terjaga disebut Rasul. Inilah yang membezakan antara nabi dan rasul.”
Hikmah di sebalik mimpi
Dalam pada itu, ujar Dr. Faudzinaim, sekiranya seseorang itu mendapat mimpi yang baik, mimpi itu datang daripada Allah sebagai khabar gembira untuk dirinya. Mungkin ada sesuatu hikmah di sebalik mimpi itu dan sesuatu yang pasti semua itu adalah rahsia Allah yang hanya diberikan kepada orang-orang tertentu.
Tidak kurang juga, jika mereka menerima mimpi yang menakutkan tetapi mempunyai unsur ke arah kebaikan, mimpi itu juga datang daripada Allah sebagai petunjuk untuk kembali ke jalan sebenar. Mimpi seperti ini boleh dikatakan sebagai hidayah daripada Allah. Tidak semua orang mendapat mimpi seperti ini. Hanya mereka yang terpilih sahaja. Beruntunglah mereka yang mendapat mimpi seperti itu.
Mimpi seperti ini adalah isyarat daripada Allah supaya kembali ke jalan yang benar. Namun begitu, mimpi tidaklah boleh dipercayai 100 peratus. Amat sukar untuk mengesahkan sesuatu mimpi itu benar atau pun tidak. Disebabkan itu, orang yang bermimpi perlu bertanya kepada orang yang alim atau pun mereka yang berautoriti untuk mentafsir mimpi mereka supaya makna mimpi itu boleh dijelaskan.
“Tafsiran mimpi itu haruslah berlandaskan dua perkara iaitu al-Quran dan Sunah. Ini wajib untuk mengelakkan tafsiran itu bercanggah dengan ajaran Islam. Jika disalah ertikan, perkara itu dikhuatiri akan menjadi satu tenung nasib.
Al-Imam Ibnu Syahin, dalam mukadimah kitabnya Al-Isyarat Fi Ilmi al-‘Ibarat, berkata, “Islam mencerca ilmu tenung kerana hanya Allah sahaja yang mengetahui masalah ilmu ghaib. Saya menghindari ilmu-ilmu seperti itu dan tidak meminatinya, dan saya ingin membuat buku yang dapat mendedahkan perkara-perkara ghaib yang sememangnya diakui oleh syarak, iaitu ilmu takwil dan tadbir mimpi.”
Mimpi itu perlu ditanya kepada orang yang benar-benar alim dalam bidang itu supaya ia tidak menyimpang dari ajaran Islam. Hal ini kerana syaitan juga boleh memberikan mimpi yang baik pada mulanya. Apabila kita sudah percaya dan terpengaruh dengan mimpi itu, lama kelamaan, ia membawa kemungkaran. Disebabkan itulah setiap tafsiran mimpi perlu berlandaskan al-Quran dan Sunnah.