Baru sahaja Siti mahu melelapkan mata, tiba-tiba terasa satu sepakan singgah di belakangnya. Siti terkejut, lalu dengan segera bangkit. Dengan keadaan terpinga-pinga dia melihat suaminya sedang bersilat dengan mata yang terpejam.

“Bang, bang! Kenapa ni?” soal Siti. Tanpa mengendahkan teguran Siti, suaminya terus bersilat. Dia seperti sedang berlawan dengan seseorang. Mukanya bengis sambil mulutnya terkumat-kamit seperti sedang mengatakan sesuatu. Situasi itu bukan sahaja berlaku pada malam itu, tetapi berlarutan setiap malam.

Peristiwa di atas mungkin dianggap lucu. Tetapi ia benar-benar berlaku dan dialami oleh seorang wanita. Dia tidak tahu mengapa setiap malam suaminya akan bersilat sewaktu tidur. Apabila ditanya, suaminya sendiri tiada jawapan. Dia sendiri keliru, mungkinkah dia bermimpi, atau pun itu adalah satu gangguan dari makhluk halus?

Mengikut pandangan Profesor Madya Dr Faudzinaim Badaruddin, Pensyarah Tasawuf dan Kajian Ajaran Sesat, Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sekiranya suami Siti sebelum ini tidak pernah mempelajari ilmu persilatan, mungkin itu merupakan pengaruh serta gangguan dari syaitan. Tidak mustahil juga ia berkait dengan saka.

Tetapi, sekiranya suami Siti pernah belajar ilmu persilatan, itu adalah khayalan serta angan-angan sebelum tidur sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur. Disebabkan hal itulah terjadi sedemikian.

Persoalan mimpi ini tidak habis setakat itu. Setiap malam, kita mengalami bermacam mimpi. Ada mimpi yang menyeronokkan, tidak kurang mimpi yang sedih. Apabila disebut sahaja perkataan mimpi, apa yang bermain di minda kita?

Mungkin kita akan terbayangkan satu saat yang indah semasa tidur. Selain itu, ramai juga yang mengatakan mimpi itu permainan tidur. Tidur seseorang akan bertambah lena dan mengasyikkan sekiranya mimpi itu indah dan menyeronokkan. Bayangkanlah mimpi mendapat sejumlah wang yang banyak. Sudah pasti kita akan terbuai dengan keseronokan mimpi itu.

Namun demikian, ada juga di antara kita yang menerima mimpi yang merubah hidup mereka. Mimpi itu membuatkan mereka kembali ke jalan Allah disebabkan satu mimpi sahaja. Jika difikirkan, apa sebenarnya mimpi ini? Adakah benar mimpi adalah permainan tidur?

Mengikut Wikipedia, mimpi adalah pengalaman bawah sedar yang melibatkan penglihatan, pendengaran, fikiran, perasaan dan indera-indera lain dalam tidur. Kejadian dalam mimpi biasanya mustahil terjadi dalam dunia nyata dan di luar kuasa orang yang  bermimpi. Bahkan, orang yang  bermimpi  dapat merasakan emosi ketika bermimpi, misalnya emosi takut dalam mimpi buruk. Ilmu yang mempelajari mimpi disebut oneirologi. 

Mimpi menakutkan adalah dari syaitan

Itu adalah pandangan dari sudut psikologi atau pun pandangan barat dan ia berbeza dengan pandangan Islam. Mengikut Riwayat Muslim, mimpi adalah gambaran yang dicipta Allah dan dilihat manusia di dalam tidur mereka. Bahkan mimpi dari kaca mata Islam dibahagikan kepada tiga iaitu sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w,

“Mimpi mempunyai tiga jenis iaitu, mimpi yang benar sebagai berita gembira dari Allah, mimpi menyedihkan daripada syaitan dan mimpi yang berkaitan dengan apa yang berlaku kepada dirinya.” – HR Syaikhani.

 Sementara, dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda,

“Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi orang Muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang Muslim adalah sebahagian dari 45 macam nubuwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga macam, 1) mimpi yang baik adalah khabar dari Allah. 2) mimpi yang menakutkan atau menyedihkan, datangnya dari syaitan. 3) mimpi yang timbul kerana ilusi angan-angan atau khayalan seseorang. Maka kerana itu, jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah kemudian solat, dan janganlah menceritakannya kepada orang lain,” Hadis Sahih Muslim.

Tiga jenis mimpi

Berbalik pada tiga jenis mimpi yang  dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w.,  berikut adalah huraiannya.  Mimpi dari Allah bermakna, mimpi yang membawa kebaikan. Mimpi baik ini ialah mimpi yang menyenangkan hati, mimpi melihat kekuasaan Allah, mimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan lain-lain lagi mimpi yang membawa kebaikan. Selain itu, mimpi dari Allah juga merupakan hidayah.

Sebagai contoh, mendapat mimpi yang sangat ngeri seperti melihat azab kubur, azab mereka yang meninggalkan suruhan Allah, dan lain-lain lagi. Walaupun mimpi itu mengerikan, sebenarnya itu adalah peringatan supaya orang yang  menerima mimpi itu bertaubat dan kembali semula ke jalan Allah.  

Dalam erti kata lain, setiap mimpi yang memberikan mesej ke arah kebaikan datangnya dari Allah. Biasanya mimpi ini dialami oleh orang yang soleh dan juga mereka yang selalu bercakap benar.

Mimpi dari syaitan, ludahlah ke kiri 3 kali

Mimpi dari syaitan pula bermakna, mimpi yang mengerikan. Mimpi itu akan membuatkan kita sangat takut dan akan berasa letih apabila bangun dari tidur. Mimpi ini sebenarnya, gangguan dari syaitan supaya kita merasa sedih serta tidak selesa semasa tidur. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,

“Mimpi ada 3 jenis, antaranya permainan syaitan untuk menyebabkan anak Adam menjadi sedih” HR Syaikhani

Apabila menerima mimpi sedemikian, seseorang itu perlulah beristighfar dan juga meludah ke sebelah kiri sebanyak tiga kali. Hal ini  bertujuan mengembalikan kembali semangat pada diri. Meludah tiga kali sebelah kiri adalah simbolik untuk menunjukkan kesungguhan menangkis gangguan syaitan serta menghina syaitan yang mengganggu. Meludah ke sebelah kiri juga adalah kerana kiri biasanya sinonim dengan bahagian yang tidak baik.

Hal  berkaitan suruhan meludah ke kiri sebanyak tiga kali turut dinyatakan melalui hadis sahih. Antaranya,  hadis yang diriwayatkan oleh Qatadah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Apabila seseorang  melihat sesuatu yang buruk dalam mimpinya, hendaklah ia memohon perlindungan kepada Allah dari keburukannya dan kejahatan syaitan, meniupkan sebanyak tiga kali dan jangan menceritakan kepada sesiapa pun, maka sesungguhnya mimpinya tersebut tidak akan mencelakakannya” – HR Al-Bukhari

Manakala Jabir r.a. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Dan apabila seseorang dari kalian bermimpi buruk, hendaklah ia meludah ke sebelah kirinya sebanyak tiga kali, memohon perlindungan kepada Allah dari syaitan (membaca a’udzu billaahi minasy syaithaanirrajim) tiga kali dan membalikkan badannya dari posisi tidurnya semula.” -HR. Muslim

Sementara  dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Apabila seseorang darimu bermimpi buruk, hendaklah ia bangun lalu solat dan jangan menceritakannya kepada orang lain.” – HR. Muslim

Apa pun bagi kategori mimpi ketiga ialah mimpi angan-angan atau mimpi yang berkaitan dengan apa yang berlaku kepada diri orang yang bermimpi. Mimpi ini hanyalah mimpi biasa. Apabila sebelum tidur, seseorang itu berilusi tentang sesuatu, ia akan terbawa-bawa ke dalam mimpi. Mimpi ini tidak membawa sebarang makna. Ia hanya pengembaraan cerita semasa tidur. Wallahu a’lam

Bersambung…