Oleh: Kamarul Faizal

https://www.facebook.com/kamarul.faizal.31

JUMAAT : Usai dari solat Zuhur di sebuah surau di Kampung Melayu Subang, sewaktu saya sedang membaca buku, saya disapa oleh seseorang ingin meminta wang bagi pulang ke kampung. Dia merupakan bekas banduan yang baru sahaja menjalani sesi pemulihan di AADK Wangsa Maju setelah keluar dari penjara.

Pemuda itu mengakui agak malu untuk meminta wang memandangkan dia secara fizikal mampu bekerja. Namun disebabkan ingin pulang ke kampung dengan kewangan yang sangat terbatas, dia terpaksa menebalkan muka. Saya pada mulanya agak keberatan mahu beri. Tambahan dalam dompet cuma ada RM5 sahaja.

Tapi saya bagi sahaja. Memandangkan ini sahaja yang ada dalam dompet saya. Lelaki itu pun mengambil dan mengucap terima kasih. Dia bertanya lagi, ‘Bang, kat surau ada AJK tak? Kut saya boleh minta sumbangan’. Saya jawab tak pasti sebab surau sebenarnya tutup lagi. Cuma dibenarkan solat di ruangan luar sahaja.

Lalu dia pun keluar. Emmm… saya fikir sudah dapat duit terus keluar. Saya meneruskan pembacaan. Tidak lama kemudian saya nampak dia masuk kembali ke surau dengan muka dan tangan yang dibasahi air. Kemudian mengadap kiblat dan solat. Kesal pula saya kerana memberi tanggapan buruk pada sebelumnya.

Sambil membaca buku, mata saya beberapa kali melihat dia solat dari awal hingga akhir. Siap berwirid dan berdoa. Saya boleh dengar butiran bacaan doanya.

Usai dia bersolat, saya panggil dia. Saya tanya, betul ke bekas banduan? Dia mengiya dan menunjukkan dokumen banduan, salinan kad pengenalan sementara dan beberapa dokumen berkaitan. Dia asal dari Sungai Petani, anak bongsu daripada empat orang adik-beradik dan berusia 29 tahun. Saya tanya atas kesalahan apa yang dia ditangkap dan dipenjarakan. Dia memaklumkan atas kesalahan mengedar secara kecil-kecilan.

“Kalau besar lama dah saya kena gantung,” jawabnya sambil tersenyum kelat. Saya pun tersenyum juga dengan gurauannya.

Saya tanya lagi, ibu bapa ada lagi tak? Dia memberitahu ibu bapanya sudah bercerai. Ibunya ada di Sungai Petani. Manakala ayahnya berkahwin dengan wanita Indonesia. Mungkin ada di sini atau Indonesia. Jadi disebabkan keadaan begini dia akui banyak mengubah sikap dan perilakunya.

Saya tahu mungkin dia pun agak malu mahu bercerita kisah dan latar belakangnya. Lagak saya macam pegawai penyiasat pula. Macam-macam yang saya tanya.

Selama hampir dua tahun dia dipenjarakan atas kesalahan dadah selepas dipindahkan dari penjara Sungai Petani ke Penjara Kajang yang mana kes kesalahan berlaku di Selangor dan kejadian ditangkap di Sungai Petani. Pemuda itu memberitahu, ini adalah kali pertama dia dipenjarakan. Sebelum ini dia bekerja sebagai pembantu Juru ukur.

Selepas menjalani proses pemenjaraan selama dua tahun dengan lebih lapan kali naik turun mahkamah atas kesalahan dadah, dia dibebaskan dan perlu menjalani proses pemulihan di AADK. Dengan sedikit duit gaji yang dibekalkan sesudah dibebaskan itulah modal untuk bergerak dan perbelanjaan harian semasa di AADK. Motosikal miliknya yang ditahan di IPD dituntut semula.

Sekarang dia sudah habis menjalani pemulihan di AADK. Tiada keperluan apa buatnya untuk duduk di sini. Lebih baik pulang ke kampung.

Dengan status bekas banduan, siapa mahu mengambilnya bekerja. Dia pun malu untuk hidup meminta sedekah sedangkan dia mampu bekerja. Tambahan kad pengenalan masih berada dalam pegangan IPD Sungai Petani. Ketiadaan kad pengenalan menyukarkan dia untuk menyelesaikan masalah berkaitan urusan bank dan dokumen. Segala upah dan bantuan seperti BPN dimasukkan ke dalam akaun bank. Jadi dia perlu pulang ke kampung.

Saya mendengar pun sedih juga. Terfikir bagaimana itu ahli keluarga kita. Siapa mahu membantu selain daripada kita.

Akhirnya saya berkata, berapa duit yang dia perlukan untuk pulang ke Sungai Petani dengan menaiki motosikal EX5 yang agak uzur itu?

Dia kata dalam RM50-RM60 cukuplah termasuk duit untuk tukar minyak hitam. Kemudian dia kata, betulkah saya mahu membantunya?

Saya jawab, “Ya.”

Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih kepada saya. Dia bersyukur sebab Allah hantar saya untuk membantunya. Dia bersyukur dengan keajaiban ini.

Dia sedar sebagai bekas banduan siapa yang mahu percaya dan membantunya. Tetapi dia tidak sangka ada orang sudi. Allah perkenaan permintaan dia untuk dibantu. Saya tersenyum sahaja. Sebenarnya saya tertarik dengannya yang bersolat, wirid dan berdoa. Nampak keikhlasannya. Itu yang memicu saya untuk membantu.

Ketika berbual dengannya lagi sewaktu berjalan ke ATM di Hospital Sungai Buloh, saya bertanya soal ibadat di penjara. Dia memaklumkan bahawa selama dalam penjara dia bersolat penuh lima kali sehari dan sempat khatam Al-Quran sebanyak dua kali.

 Alhamdulillah. Saya kagum, tahniah di atas perubahan yang berlaku. Cuma dia kata cabaran di luar dari penjara menggusarkannya akan kembali lalai. Saya menjawab, “Selagi kamu menjaga solat, jaga hubungan dengan Allah, insha Allah, Allah akan menjaga kamu dari kelalaian. Itu pentingnya menjaga solat.”

Tiba di ATM, dia tunggu saya di luar. Usai mengeluarkan wang, saya panggil dia dan memberikan wang kepadanya. Saya tanya “Cukup tak? Guna untuk yang sepatutnya.”

Dia jawab, “Ya, saya faham bang. Lebih dari cukup, bang. Syukur Allah hantar abang kepada saya untuk bantu saya,” ujarnya. 

Sekali lagi berkali-kali dia mengucapkan terima kasih dan mendoakan saya moga dimudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki. Saya mengaminkan dan mengucapkan terima kasih.

Saya berkata, “Saya  tidak kenal awak. Dan awak pun tak kenal saya. Saya membantu sebab atas yang patut saya bantu. Saya minta awak gunakan duit ini untuk servis motosikal, isi minyak dan makan serta terus balik ke kampung. Jumpa mak. Minta maaf dan carilah pekerjaan yang baik.”

Sekali lagi dia ucapkan terima kasih dan minta didoakan moga dirinya berjaya dalam kehidupan serta istiqamah dalam beribadah.

Tiba di motosikal selepas berjalan dari lobi hospital, dia cakap tidak sangka Allah bagi dia rezeki untuk balik melalui saya. Dia fikir tiada dah orang mahu membantunyaa disebabkan statusnya sebagai bekas banduan.

Sebelum bergerak sekali lagi dia menggenggam tangan saya mengucapkan terima kasih dan berdoa moga saya dimudahkan segala urusan serta dimurahkan rezeki. Jangan lupa untuk doakan dia sekali. Sebak pula saya.

Dia tanya nama saya siapa dan minta nombor telefon. Saya kata, tak mengapalah. Ingat saya cukuplah. Yang penting sekali saya ingatkan dia bahawa Allah sudah bagi peluang untuknya berubah dan ambillah peluang ini. Jangan dipersiakan. Insha Allah, dia beritahu.

Apabila motosikal dihidupkan, dengan wajah ceria dia ucapkan terima kasih dan memberi salam. Saya perhatikan dia sehingga hilang dari penglihatan saya. Sebak pula saya. Allah merezekikan saya dengan baik dari segi perjalanan hidup. Walaupun diuji namun tidak perlu melalui perjalanan hidup yang sukar sehingga merosakkan diri. Dengan rezeki saya, Allah gerakkan hati saya untuk membantu orang. Mungkin tidak banyak namun bagi mereka yang menerimanya mereka sangat menghargai dan bersyukur. Pemberian pada saat yang amat memerlukan tetapi kita permudahkan buat mereka.

Siapa kita untuk menghakimi mereka. Kita pun bukanlah baik sangat dalam hidup sehingga mahu menghina atau mengeji mereka. Apa yang boleh kita bantu, kita bantu. Mudah-mudahan dengan bantuan dari kita yang tidak seberapa memberikan sedikit kesedaran bahawa dalam dunia ini ada ramai yang masih sudi untuk membantu mereka. Allah menghadirkan pelbagai orang dalam hidup kita agar kita boleh mengambil manfaat dari mereka. Ia bukan sesuatu yang sia-sia.

Begitulah kisah yang berlaku pada petang Jumaat itu. Moga kita sentiasa menjadi hamba yang bersyukur dengan rezeki dan nikmat yang diperolehi….

Buat pemuda berkenaan, walau di mana kamu berada, sentiasa ingat jagalah hubungan dengan Allah. Hanya dengan menjaga hubungan tersebut Allah akan menjaga kamu…

https://www.facebook.com/kamarul.faizal.31

#kongsiceritakita