“Ambil gambar kami” – Ratapan hiba si ayah, merangkul tubuh anak yang kaku tidak bernyawa

Dari Penulis

Pada 3 September 2008, taufan Hanna yang membawa hujan lebat berserta angin kencang dengan kelajuan 100 kilometer sejam telah membantai Haiti.

Haiti atau Republik Haiti terletak di bahagian barat Pulau Hispaniola di perairan Laut Carribean. Ibu kotanya adalah Port-au-Prince. Haiti merupakan negara pertama yang mendapat kemerdekaan di kawasan benua Amerika Latin, itu pun selepas pasca pemberontakan hamba abdi.

Negara itu dilanda kemusnahan teruk akibat taufan Hanna. Hampir 80 peratus daripada jumlah kematian berlaku di Gonaives, bandar ketiga terbesar di Haiti. Lebih 250 ribu penduduk Haiti terjejas. Ratusan nyawa melayang. Ribuan rumah musnah. Penduduk yang terselamat terpaksa memanjat bumbung bagi menyelamatkan diri.

Haiti dilanda taufan yang memusnahkan kebanyakan tempat di negara itu.

Misi bantuan kemanusiaan mula tiba, dihantar untuk penduduk yang terperangkap di kawasan bencana. Namun keadaan menyukarkan misi bantuan. Banyak jalan yang terhalang sama ada kerana jambatan atau tanah runtuh, pokok tumbang atau terputus kerana dinaiki air.

Hari demi hari, kian banyak mayat ditemui. Belum habis taufan Hanna, dalam masa yang sama, ancaman taufan Ike pula dikeluarkan. Lewat malam sebelumnya, taufan Ike telah menghentam bahagian utara timur laut Puerto Rico, membawa angin kencang selaju 510 kilometer sejam.

Awal pagi 7 September 2008, sewaktu penduduk sedang lena diulit mimpi, taufan Ike tiba dan membadai Cabaret, salah sebuah bandar di Haiti. Keadaan jadi hingar bingar dengan suara pekikan dan tangisan. Anak-anak terpisah daripada ibu bapa, hanyut dibawa arus deras.

Deretan Mayat Kanak-Kanak

Sudah beberapa hari jurugambar, Patrick Farrel dan wartawan, Jacqueline Charles berada di Port-au-Prince, ibu kota Haiti. Mereka ditugaskan untuk membuat liputan taufan yang melanda Haiti bagi siaran akhbar Miami Herald yang berpangkalan di Florida.

Jurugambar Patrick Farrel.

Pagi 7 September, apabila mendapat tahu Cabaret diserang taufan Ike, kedua wartawan dan jurugambar tersebut pergi meninjau pekan tersebut. Dari Port-au-Prince menuju ke Cabaret hanya mengambil masa sejam pemanduan.

Namun pagi itu, kenderaan yang membawa mereka berdua mengambil masa beberapa jam untuk tiba di Cabaret ekoran jalan yang ditenggelami air dan banyak jambatan yang runtuh.

Sampai di Cabaret, mereka mula melihat mayat-mayat yang diletak di tepi jalan. Ketika itu, penduduk mendesak wartawan dan jurugambar itu agar terus lagi ke hadapan.

“Ada kanak-kanak…” itu kata mereka sambil menggesa Farrel dan Charles terus berjalan ke depan.

Mayat kanak-kanak Haiti yang terkorban dilanda taufan.

Lalu mereka tiba di sebuah kawasan yang dikerumuni ramai orang. Ada deretan mayat kanak-kanak tersusun di situ. Wajah mereka bagai sedang nyenyak tidur. Usia kanak-kanak itu antara satu hingga 12 tahun. Kebanyakannya telanjang dan badan dipenuhi lumpur.

Tiba-tiba, dalam keramaian itu, keluar seorang lelaki. “Ini anak saya! Ambil gambarnya!” jerit lelaki itu kepada Farrel.

Muncul seorang lelaki yang merangkul mayat anaknya meminta di foto gambarnya.

Lelaki itu mula menangis sambil mengambil mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun. Tubuh anak yang sudah kaku itu dipeluk, dicium dalam esak tangis berpanjangan.

Waktu ketika itu bagaikan terhenti. Orang-orang sekeliling termasuk petugas keselamatan hanya diam, memerhati sayu bagaikan turut tenggelam seketika bersama ratapan hiba lelaki itu. Lantas, tangan Farrrel terus menekan punat kameranya…

Lelaki ini menangis hiba sambil merangkul mayat anaknya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This