SUATU pagi bertarikh 30 Disember 1988, balai bomba St. Louis di daerah Missouri, Amerika Syarikat mendapat panggilan kecemasan. Sebuah apartmen kediaman sedang terbakar di tingkat dua.
Jentera bomba segera dikejarkan ke lokasi kejadian. Turut serta ialah Adam Long yang sudah lama berkhidmat sebagai anggota bomba.
Sebaik tiba di situ, kelihatan kepulan asap tebal telah menyelubungi kediaman di tingkat dua tersebut. Api mula marak. Tidak menunggu lama, Adam memanjat ke tingkat dua. Dia menyerbu masuk ke dalam apartmen yang sudah dipenuhi asap tebal.
Dalam pemandangan yang tersekat kerana kepulan asap itu, Adam terlihat sekujur tubuh kecil terbaring tidak sedarkan diri. Tubuh anak kecil itu telanjang, dipenuhi jelaga dan serpihan kaca.
Tidak menunggu lama, Adam segera menarik tubuh itu dan berlari membawanya keluar. Ketika membawa anak kecil itu turun, Adam perasan tubuh kanak-kanak itu terkulai tidak memberi respons.
Serta-merta Adam menanggalkan topeng keselamatannya. Dia tidak kisah tentang topengnya lagi. Yang penting, dia harus memberi bantuan pernafasan secepat mungkin demi menyelamatkan nyawa kanak-kanak perempuan itu.
Adam tahu nyawa anak kecil itu dalam bahaya kerana sudah terhidu asap berlebihan. Segera dia memberikan bantuan pernafasan mulut ke mulut kepada tubuh kecil yang sudah terkulai itu. Sekali… dua kali… tiga kali… tanpa jemu Adam berterusan memberikan ‘ciuman nyawa’ tetapi, anak kecil itu tidak memberi sebarang reaksi.

BEBERAPA minit sebelum kejadian, Ron Olshwanger, salah seorang penduduk bandar St. Louis sedang memandu kereta. Ron bukan siapa-siapa, hanya orang biasa. Dia mempunyai hobi mengambil gambar.
Ron bukanlah jurugambar profesional. Dia hanya seorang amatur. Paling diminatinya, merakamkan gambar yang ada kaitan dengan api.
Sewaktu memandu itu, melalui pengimbas radio kecemasan, Ron dapat tahu ada sebuah kebakaran sedang berlaku. Terus dia bergegas memandu ke lokasi kejadian.
Ron tiba di situ tepat di waktu Adam sedang memberi bantuan pernafasan kepada kanak-kanak perempuan telanjang yang dikendongnya. Tanpa berlengah, Ron terus mencapai kamera automatik jenis Minolta X-700 dan memetik punat kamera, merakamkan adegan Adam yang berusaha untuk ‘menghidupkan’ semula anak kecil itu.

Tanpa Ron sangka, sekeping gambar yang diambilnya telah mengubah hidupnya. Gambar itu disiarkan dalam akhbar, mendapat perhatian ramai. Lebih sukar untuk dipercayai Ron apabila foto Adam sedang memaut tubuh kecil itu sambil memberi bantuan pernafasan CPR memenangi Anugerah Pulitzer 1988 untuk kategori berita.
Sungguh Adam tidak sangka. Tanpa skil dan kamera mahal, gambarnya dipilih sebagai pemenang. Ron terkejut.
Ketika itu, Adam tidak sedar aksinya dirakam. Apa yang Adam tahu, dia harus menyelamatkan nyawa anak kecil itu dan memastikan jantungnya tetap berdenyut.
Adam tidak berhenti memberikan bantuan pernafasan sehinggalah paramedik tiba di tempat kejadian, barulah anak kecil itu diambil dari tangan Adam dan dilarikan ke hospital.

SIAPA anak kecil yang dipaut Adam sehingga fotonya menyentuh ramai hati manusia? Kanak-kanak berambut perang itu bernama Patricia Pettus. Usianya baru dua tahun. Akibat kebakaran itu, Patricia dimasukkan ke unit rawatan rapi, tidak sedarkan diri.
Ibu Patricia dan kakaknya, Nicole yang berusia empat tahun turut cedera namun sempat melarikan diri keluar dari rumah mereka yang terbakar. Dikatakan, kebakaran bermula kira-kira sejam setelah ayah kanak-kanak itu keluar bekerja. Puncanya boleh jadi disebabkan kecuaian putung rokok, atau mungkin kanak-kanak itu bermain pemetik api.
Sehari setelah kejadian, Adam datang ke hospital melawat Patricia. Kanak-kanak itu dibantu mesin sokongan hayat. Meskipun matanya tertutup rapat, wajah anak kecil itu tenang sekali. Adam hanya mampu memegang tangan kecil itu sambil berharap Patricia akan sedar.
Tapi, doa dan harapan Adam tidak kesampaian. Setelah enam hari berjuang, akhirnya Patricia meninggal dunia. Adam mahupun Ron, ahli bomba dan jurugambar itu hadir pada hari pengebumian Patricia.
Pemergian Patricia membuat hati Adam benar-benar tersentuh. Apatah lagi apabila dia mendapat anugerah Medal of Honor atas usahanya dalam tragedi tersebut. Adam sering bertanya sendiri, sudah cukupkah usaha yang dibuatnya dahulu untuk menyelamatkan Patricia?

Pun begitu, kehilangan Patricia sebenarnya membawa kesedaran kepada masyarakat seluruh dunia. Waktu itu, ramai orang tidak menganggap alat pengesan asap sebagai suatu yang penting di rumah mereka.
Tetapi, sejak foto Adam dan Patricia ditonton jutaan pembaca, mereka mulai sedar bahawa sikap berjaga-jaga dari awal adalah penting. Kerana itu juga, orang ramai mula memasang alat pengesan kebakaran di rumah dan premis mereka sebagai langkah berjaga-jaga.
Sebelum kejadian itu, kempen tentang mengesan kebakaran awal dengan alat pengesan tidak diendahkan masyarakat. Hanya setelah nyawa Patricia terkorban, barulah ia membuka mata semua orang.
Seperti yang sering disebut Ron kepada Adam, kematian gadis kecil itu bukanlah sia-sia. Sebaliknya, ia membangkitkan kesedaran orang ramai.
Ron sendiri walaupun sekadar mengambil foto mereka turut terasa dengan kehilangan Patricia. Malah, wang kemenangan $3000 yang diterima daripada Pulitzer tidak digunakannya, begitu juga dengan wang hasil pembelian gambar yang dipetiknya. Semuanya disalurkan Ron untuk membantu ibu Patricia iaitu Mary Ann Bridgett untuk meneruskan kehidupan dan membesarkan seorang lagi anaknya, Nicole yang juga cedera teruk dalam kebakaran itu. Keluarga Patricia adalah golongan miskin, kerana itu Ron tekad menyalurkan wang hasil foto tersebut untuk membantu keluarga anak kecil itu.
Bukan itu saja, foto tersebut turut digunakan dalam kempen pengiklanan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan alat pengesan kebakaran.
Oh ya, kematian Patricia juga mewujudkan hubungan rakan yang erat antara Adam dan Ron. Kerana foto itu, kedua-duanya jadi sahabat baik sehingga ke hari ini. Bahkan semasa isteri Ron meninggal kerana kanser pada tahun 1991, Adam adalah orang yang sentiasa ada di sisinya untuk memberi semangat.
Semuanya disebabkan Patricia!
______

