PUKUL 8.00 pagi bertarikh 19 April 1995 di Oklahoma City, Amerika Syarikat. Timothy McVeigh sudah bersedia di samping sebuah truk putih yang disewanya sejak seminggu lalu. Truk itu sarat dengan muatan baja ammonia nitrat, nitrometana dan minyak diesel.

McVeigh melihat jam di tangan. Dia perlu menukar rancangan. Dia tidak boleh menunggu sehingga pukul 11.00 pagi. McVeigh berasakan pukul 9.00 pagi adalah waktu paling sesuai untuk dia ‘berurusan’ di bangunan kerajaan Alfred P. Murrah, pusat bandar Oklahoma.

Lantas dia menghidupkan enjin trak. Sebelum bergerak, sekali lagi dia meneliti helaian muka surat yang telah dikoyak daripada naskhah buku The Diaries Turner – sebuah buku fiksyen warga kulit putih yang mencetuskan revolusi. Ya, buku itulah yang menjadi inspirasinya.

Hampir pukul 9.00 pagi, truk yang dipandu McVeigh memasuki pusat bandar Oklahoma. Dia menuju ke bangunan pentadbiran kerajaan persekutuan, Alfred P. Murrah melalui jalan utama NW 5th Street.

Di belakang trak yang dipandu McVeigh jelas kelihatan pelekat yang tertulis slogan ‘Apabila kerajaan takut kepada rakyat, di situ ada kebebasan. Ketika orang-orang takut kepada kerajaan, di situ ada kezaliman’. Ia adalah petikan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Thomas Jefferson, bekas Timbalan Presiden Amerika Syarikat yang kedua.

McVeigh memberhentikan kenderaannya di bahu jalan. Jaraknya hanya beberapa blok sahaja dari bangunan Alfred P. Murrah. Ketika itu dia memetik satu punat butang yang telah dipasang berasingan pada kenderaan tersebut.

Kemudian, McVeigh memandu semula. Sebaik sampai di pekarangan bangunan Alfred P. Murrah, dia meletakkan kenderaannya di ruang parkir zon drop-off. Lokasi ruangan parkir tersebut betul-betul berhadapan dengan pusat jagaan harian kanak-kanak yang terletak di dalam bangunan yang sama.

Pintu trak dikunci kemas. Sambil memegang sampul surat berisi helaian muka surat buku The Diaries Turner, dia berjalan kaki ke lokasi lain melalui lorong-lorong bangunan berhampiran. Tanpa dia sedar, kunci traknya terjatuh di kaki lima bangunan berhampiran.

Pukul 9.05 pagi, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat. Bommmmmm!!!

Truk Ryder yang diisi lebih 3,000 kilogram bahan letupan itu meletup dan menggegarkan pusat bandar Oklahoma. Ledakan tersebut telah menyebabkan satu pertiga daripada struktur bangunan berkenaan musnah. Dalam sekelip mata, pusat pentadbiran kerajaan itu menjadi lumpuh serta-merta.

Keadaan bangunan Alfred P.Murrah selepas dibom.

Impak ledakan itu telah membentuk kawah selebar 30 kaki dengan kedalaman mencecah lapan kaki. Bukan sahaja bangunan Alfred P. Murrah, malah 16 blok bangunan berhampiran turut terkena tempiasnya. Sementara kenderaan-kenderaan lain yang berada berdekatan turut musnah sama sekali.

Tahap kekuatan letupan itu dianggar melebihi 5,000 paun TNT, yang mana gegaran dan bunyinya boleh didengari sejauh 90 kilometer. Tahap gegaran yang dirasai mencapai 3.0 skala Ricther. Ia disifatkan sebagai antara serangan terburuk daripada musuh domestik dalam sejarah Amerika moden.

Pasukan bomba dan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian. Di pekarangan lokasi, mangsa-mangsa bergelimpangan di sana sini. Kemusnahan yang bukan sedikit.

Ketenangan di bandar Oklahoma bertukar menjadi hiruk pikuk. Tubuh-tubuh yang tidak bernyawa bertebaran, bahkan ada antaranya berkecai anggota badan kerana kesan letupan yang sangat kuat. Paling menyayat hati, ledakan tersebut berlaku di hadapan pusat jagaan harian kanak-kanak.

Salah seorang anggota bomba yang menyertai misi tersebut, Chris Fields telah menemui seorang kanak-kanak, Baylee Almon. Anak kecil itu masih bernafas tetapi mengalami kecederaan yang agak parah kerana dihempap oleh runtuhan bangunan.

Fields segera memangku Baylee keluar ke tempat selamat. Ketika itu juga, seorang jurugambar tempatan, Charles Porter telah merakam situasi dramatik itu. Namun, tak lama selepas diselamatkan, Baylee Almon disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Gambar anggota bomba yang menemui kanak-kanak ini dirakam oleh Charles Porter. Tetapi anak kecil itu meninggal tidak lama setelah ditemui.

Pasukan penyiasat FBI mempunyai tiga hipotesis yang dikaitkan dengan tragedi berdarah ini. Pertama, pihak yang bertanggungjawab terhadap letupan tersebut adalah pengganas antarabangsa.

Kedua, berkemungkinan ia satu tindakan balas dendam daripada taikun dadah kerana bangunan tersebut menempatkan Jabatan Agensi Anti Dadah Amerika. Manakala hipotesis yang ketiga, pengeboman itu mungkin dilakukan oleh pihak radikal anti kerajaan yang mahu melakukan pemberontakan.

McVeigh ditahan dalam tempoh 90 minit selepas letupan ketika sedang memandu berhampiran Noble Country, utara Oklahoma. Kenderaan yang dipandunya tidak mempunyai nombor pendaftaran yang sah. Dia didapati bersalah kerana tidak mempunyai lesen memandu serta menyimpan senjata api.

Berdasarkan kepada kad pengenalan diri, pihak polis mendapati McVeigh merupakan seorang bekas perajurit yang pernah berkhidmat untuk Angkatan Tentera Amerika. Lelaki itu kemudiannya telah dibawa ke balai polis Oklahoma kerana disyaki terlibat dengan siri letupan di bangunan Alfred P. Murrah.

McVeigh, pelaku dalam tragedi ini adalah bekas askar.

Pasukan penyiasat mengesahkan seramai 168 orang mati termasuk 19 orang kanak-kanak dalam kejadian itu, tidak termasuk seorang mayat yang tidak dikenali identitinya. Kebanyakannya meninggal dunia disebabkan oleh runtuhan bangunan. Manakala mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan pula dianggar lebih daripada 500 orang.

Sehari selepas tragedi pengeboman itu, media cetak di seluruh Amerika mula melaporkan berita tentang kejadian tersebut. Ulasan, laporan dan gambar-gambar yang berkaitan dengan serangan itu telah dipaparkan di dada-dada akhbar.

Namun, di antara ribuan gambar yang telah diambil, foto seorang anggota bomba yang sedang memangku anak kecil yang dipotret oleh Charles Porter dianggap sebagai ikonik dalam sejarah tragedi berkenaan. Ia menghiasi muka depan akhbar tempatan. Ya, potret itu sangat sentimental untuk seluruh warga Oklahoma City.

Foto bidikan Charles Porter ini telah memenangi anugerah Pulitzer.

Foto yang dibidik Charles Porter itu telah memenangi anugerah Pulitzer bagi kategori ‘Fotografi Berita Tahunan Terbaik’. Ia dianggap sebagai gambar terbaik pada tahun 1995 dan memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi.

Dihukum Mati

McVeigh yang ditahan pada hari kejadian telah dihadapkan ke mahkamah Oklahoma atas tuduhan keganasan dan pembunuhan orang awam. Ejen persekutuan juga telah menggeledah rumah McVeigh untuk mencari bukti-bukti kukuh bagi melakukan pendakwaan.

Di lokasi lain, pihak berwajib telah menahan seorang rakan McVeigh bernama Terry Nichols yang disyaki terlibat merancang keganasan itu. Terry juga merupakan seorang bekas perajurit Angkatan Tentera Amerika telah dibicarakan bersama McVeigh.

Pada 1997, McVeigh dan rakannya, Terry Nichols telah didapati bersalah kerana melakukan keganasan dan membunuh orang awam. McVeight yang juga merupakan perancang utama letupan itu telah dijatuhi hukuman mati, sementara Terry dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Pada 11 Jun 2001, McVeigh telah menjalani hukuman. Dia telah disuntik dengan ubat maut dan menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas enam tahun tragedi berdarah itu berlaku.

Memorial peringatan mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare