Doa satu keperluan bukan kehendak

0
103

Saidina Ali r.a. pernah berkata, “Doa merupakan salah satu senjata bagi orang Islam, tiang penyokong agama, serta cahaya langit dan bumi.”

Kata-kata Saidina Ali r.a. ini menunjukkan, berdoa adalah satu keperluan yang harus diamalkan oleh setiap umat Islam, tanpa mengira masa dan tempat. Doa memberi pengaruh yang sangat besar dalam konteks kehidupan seharian. Bukan sahaja sebagai senjata, tetapi berperanan sebagai perisai melindungi diri, tiang agama dan cahaya menerangi kehidupan.

Apalah ertinya Islam jika kita tidak berdoa? Doa merupakan salah satu perbuatan yang menunjukkan kita meletakkan tahap kebergantungan yang tinggi kepada Allah S.W.T.

Masakan tidak, bukankah berdoa itu bererti kita meminta dan mengharap pertolongan-Nya. Ia secara langsung menzahirkan kelemahan kita, dan mengakui kebesaran serta kekuasaan Allah S.W.T. Apatah lagi doa merupakan medium utama kita berinteraksi dan berkomunikasi dengan Allah.

Hakikatnya, doa mempunyai tenaga dan pengaruh yang sangat besar andai ia diungkapkan dengan sebaiknya. Jika tidak, masakan Saidina Ali r.a. dengan begitu yakin mengatakan, doa adalah senjata dan tiang agama.

Walaupun saban hari diperlakukan dengan kejam namun umat Islam di Palestin tidak pernah berhenti berdoa. Itulah sumber kekuatan mereka menahan penindasan Zionis.

Lihat sahaja keadaan umat Islam sebagaimana yang berlaku kini, di Myanmar, Palestin, Syria, China, India dan banyak lagi.

Kesemua umat Islam ini ditindas dan diperlakukan seperti haiwan. Setiap hari ada sahaja jiwa-jiwa yang terkorban, dek kerana mempertahankan keimanan kepada Allah.

Walaupun saban hari menempuh penderitaan hidup yang sangat dahsyat, namun jiwa mereka tetap utuh menggenggam kalimah La Ilaha Illallah.

Kerana apa mereka tetap bersemangat dan tidak gentar dengan kezaliman musuh-musuh Allah, sekalipun diugut dan diperlakukan dengan teruk?

Itu kerana mereka yakin dengan janji-janji Allah, dan doa-doa yang sentiasa dipanjatkan setiap masa dan ketika. Doa-doa inilah yang bertindak sebagai tiang agama, menyangga (topang) iman dan menjadikan mereka mempunyai tenaga dan kekentalan jiwa yang kuat, untuk terus mendakap kemas keyakinan dan perasaan cinta kepada Allah.

“Mereka boleh sahaja hidup dengan tenang tanpa ditindas dan diseksa. Cukup hanya menyatakan kekufuran kepada Allah dan keluar dari agama Islam”.

Akan tetapi mereka tetap memilih untuk menjalani hidup yang menyiksakan, kerana pengaruh doa yang mereka ungkapkan sehari-hari. Kemanisan nur yang terdapat pada doa itu, bukan sahaja menyembuhkan luka dan duka keperitan jiwa, bahkan turut menerangi keseluruhan alam. Bayangkan bagaimana hebatnya sebuah doa.

Doa sudah, tapi hasil tiada

Mungkin ada di kalangan kita yang tertanya-tanya, mengapa sudah banyak kali doa dipanjatkan, solat hajat juga telah didirikan. Bukan hanya setakat berseorangan, bahkan juga berkumpulan, tetapi hasilnya masih tidak kelihatan. Nasib umat Islam yang ditindas dan teraniaya masih lagi berterusan, seakan doa-doa tersebut tidak mendapat perkenan.

Bukankan Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 216,

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, sedang kamu tidak mengetahuinya.”

Ayat ini secara jelas menyatakan, setiap perkara yang berlaku sama ada baik atau buruk, hanya Allah yang lebih mengetahuinya.

Sekalipun kita suka, tetapi belum tentu apa yang kita inginkan itu mendatangkan kebaikan, begitu juga sebaliknya. Anggaplah ini sebagai ujian daripada Allah untuk melihat bagaimana titik keimanan dan ketakwaan kita kepada-Nya.

Panjatkanlah doa dan jangan berhenti kerana doa adalah medium komunikasi seorang hamba dengan tuhannya.

Nabi s.a.w juga pernah bersabda,

“Seorang hamba akan selalu dikabulkan doanya oleh Tuhan selagi mana dia tidak berdoa dengan sesuatu yang berdosa, memutuskan silaturahim dan tergesa-gesa.” (HR Muslim)

Maka itu, teruslah berdoa walaupun doa yang dipanjatkan itu belum dimakbulkan. Jangan sesekali berhenti, kerana itu bermakna kita telah berputus asa dan merasakan diri ini tidak lagi memerlukan Allah sebagai tempat bergantung. Sedangkan kita adalah manusia yang lemah, dan memerlukan sesuatu sebagai tempat pergantungan, sebagaimana seorang tua yang memerlukan tongkat untuk berjalan.

Dalam keadaan apa pun, kita mesti terus bermunajat meminta pertolongan Nya tidak kira ketika susah mahupun senang. Ia perlu dilakukan secara berterusan kerana Allah S.W.T. tidak suka kepada hamba yang hanya meminta ketika ditimpa musibah kesusahan, dan melupakan Nya ketika berada dalam kesenangan.

Firman Allah dalam surah Yunus: 12,

“Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia kembali melalui jalan yang sesat, seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk menghilangkan bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.

Dari itu, di saat kita sedang menghadapi ujian covid19 yang tidak pasti bila akan berakhir, dengan angka positif yang semakin meningkat ini, tundukkan hati, buangkan ego, tunduk dan berdoalah sebanyaknya kepada Allah memohon supaya wabak yang semakin teruk ini hilang, dan kita dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Doa bukan satu kehendak tapi keperluan. Tepuk dada, tanya iman, sudah banyakkah kita berdoa hari ini?