Anda menguap?  Pastinya orang yang berada di sebelah anda akan turut menguap seminit dua selepas itu.  Dan perhatikan terus. Bagaikan satu jangkitan, menguap akan terus ‘mempengaruhi’ minda seseorang untuk turut sama melakukan perkara yang sama.

Tak percaya?  Mungkin ia satu kebetulan tapi perhatikan, jika ada seorang yang menguap pasti ada yang mengikutinya.

Tatkala itu  tampaklah pelbagai cara orang menguap.  Mulut besar, hidung kembang kempis menahan mulut dari terbuka luas atau ada juga yang hanya menekup tangan ke mulut. Sama ada tidak mahu orang tahu dia sedang menguap atau mungkin menghormati orang yang berada di sekeliling. Atau mungkin juga kerana ibu sering berkata,  “tutup mulut, nanti syaitan masuk!.” 

Benarkah syaitan akan masuk melalui mulut?  Kenapa tidak melalui rongga-rongga terbuka yang lain seperti  hidung, mata atau melalui liang-liang roma yang ada di tubuh manusia.  Peliknya, mengapa di waktu solat pun, kita menguap?  Tidakkah syaitan itu takut pada ayat-ayat al-Quran yang dibaca?   

Menjawab persoalan ini,Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM),  Anwar Fakhri Omar menjelaskan, perbuatan menguap boleh dibahagikan kepada dua keadaan pilihan iaitu tidak disengajakan dan disengajakan. Walau apa sekalipun situasinya, hukum menguap adalah makruh.

Menguap yang disengajakan seperti fikiran memikirkan sesuatu yang berkaitan dengan mengantuk, ingin tidur, maka ia diklasifikasikan sebagai disengajakan. Ini kerana perbuatan itu bukan datang dengan sendirinya. Tetapi berlaku kerana otak memikirkan perkara itu.

Pilihan kedua pula ialah tidak disengajakan, iaitu diri dikuasai perasaan menguap oleh sebab anggota badan dan otak yang letih atau mengantuk. Dalam hal ini, hukumnya juga makruh

Tutuplah mulut

Semua maklum, menguap adalah proses semula jadi.  Besar, kecil,  tua, muda, semuanya akan menguap kerana ia memang telah dijadikan  secara semula jadi dalam penciptaan manusia. Namun tahukah anda, proses semula jadi itu telah membuka ruang untuk syaitan menyelinap masuk ke tubuh manusia.

Gara-gara itu, maka Islam  menetapkan adab-adab ketika menguap antaranya, tutuplah mulut kamu dan jangan biarkan ia terbuka terlalu luas. 

Daripada Abu Said Al-Khudri r.a. katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.

“apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka) HR Muslim

Rasulullah menjelaskan lagi,  daripada Safiyah binti Huyayn,  sabdanya,

Sesungguhnya syaitan itu berupaya berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut pembuluh darah.” HR Bukhari dan Muslim. 

Apa pula kesannya? 

Manusia akan malas beribadah dan melakukan kebaikan. Bukan itu sahaja, syaitan akhirnya akan menguasai manusia untuk menjadi sahabatnya.  Surah Fatir: 6  menyebutkan,

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh (mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” 

Syaitan berlumba masuk ke dalam mulut jika tidak ditutup saat menguap. keadaan itu menyebabkan kita menjadi malas.

Syaitan menyukai kemalasan dan kedunguan, sedangkan agama Islam sangat benci dengan kemalasan. Malah amat menganjurkan umatnya supaya giat bekerja dan beramal. Nabi Muhammad s.a.w juga selalu berlindung dari sifat kemalasan.

Lumrah syaitan itu sendiri akan berusaha mengganggu gugat iman anak-anak Adam tidak kira dalam apa situasi sekalipun. Lagi tinggi iman seseorang, lagi tinggi darjat syaitan yang dihantar untuk mengganggu.

Lihat sahaja di dalam majlis ilmu. Andai ada seorang yang menguap, pasti yang lain  menjangkitinya kerana itulah kerja-kerja syaitan supaya manusia tidak memperoleh ilmu yang  diajar.

Selain itu, dengan terbukanya mulut ketika menguap akan menyebabkan syaitan bersorak gembira kerana virus sudah tersebar. Penjelasannya samalah dengan adab ketika bersin dan batuk iaitu perlu menutup mulut. Ketika bersin, batuk dan menguap virus yang menyebabkan penyakit akan tersebar kepada orang lain di sekeliling.

Orang yang menguap dan menutup mulut menunjukkan dia seorang yang bijak, kerana dia peka dan dapat menyesuaikan dirinya dengan persekitaran serta orang di sekelilingnya. Orang yang menguap dengan tidak menutup mulut, malah ada kalanya berbunyi, menunjukkan orang itu bersifat malas dan tidak sensitif pada persekitaran.

Tutuplah mulut saat menguap. Itulah adab yang diajar dalam Islam

Adab menguap

Menutup mulut ketika menguap juga ada caranya. Ada yang berpendapat boleh menutup dengan kedua-dua belah tangan kanan dan kiri tidak kira telapak atau belakang tangan. Ada pula yang berpendapat lebih elok sekiranya tangan sebelah kiri hanya menggunakan bahagian belakang tangan sahaja kerana telapak tangan kiri lebih digunakan untuk tujuan bertaharah.

Bukan itu sahaja,  Islam turut melarang umatnya mengangkat bunyi ketika menguap. Menguap dengan tidak menutup mulut dan mengeluarkan bunyi, dianggap tidak sopan serta tidak elok  dari pandangan masyarakat.  Bahkan  perbuatan demikian adalah tanda kerendahan peribadi serta akhlak yang tidak baik.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda,

Menguap adalah dari syaitan. Maka apabila seseorang dari kalian menguap, tahanlah (dari menguap) dengan sedaya upaya mungkin karena sesungguhnya apabila seseorang itu menguap sambil berbunyi ”HAAA” maka syaitan akan mentertawakannya” HR Bukhari