Michael J. Losier dalam bukunya Law of Attraction menyatakan, “Segala perkara yang kita fikirkan dengan sepenuh perhatian, tenaga dan fikiran, sama ada positif atau negatif akan datang dalam kehidupan kita, itulah definisi hukum tarikan”.

Ia juga bersesuaian dengan apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w bahawa, antara waktu berdoa yang paling mustajab dan diterima adalah ketika bersujud di sepertiga malam, kerana pada waktu itu seluruh fikiran kita akan hanya tertumpu kepada Allah S.W.T.

Menyingkap kehebatan doa, terdapat satu peristiwa yang pernah berlaku di zaman Imam Ahmad bin Hambal r.a. Ketika itu beliau sedang duduk bersantai di rumahnya. Seorang pemuda telah datang, dan meminta supaya beliau mendoakan ibunya sembuh dari penyakit lumpuh. Bertanya Imam Ahmad kepada pemuda tersebut,

Berdoa merupakan salah satu dari hukum tarikan. Perbanyakkan doa kerana itu merupakan satu cara menarik rahmat Allah kepada kita.

“Siapa yang memberitahumu bahawa doaku ini mustajab? Seeloknya pulanglah kamu kepada ibumu, dan mintakan doa kepadanya untuk kita semua.”

Mendengar kata Imam Ahmad yang seakan tidak ingin mengabulkan permintaannya, maka pemuda itu pun keluar dan menangis kesedihan. Kemudian ibu Imam Ahmad menemui pemuda itu dan memberitahu kepadanya bahawa sebenarnya Imam Ahmad telah pun mendoakan ibunya. Setibanya di rumah, pemuda itu terkejut melihat ibunya sembuh dari penyakit lumpuh yang dideritainya dan dapat berdiri.

Keajaiban doa

Hakikatnya setiap penyakit memang perlukan penawar dan rawatan tertentu, supaya penyakit yang dideritai dapat sembuh seperti sediakala. Namun begitu hanya bergantung semata-mata kepada ubat tanpa berdoa bukanlah suatu perkara yang tepat. Ini dapat dibuktikan sendiri, berdasarkan kajian yang pernah dijalankan bahawa, berdoa adalah satu perkara yang perlu dalam proses rawatan.

Seorang pakar kesihatan dalam bidang Reumatik di Barat, juga anggota pertubuhan Perubatan Sakit Punggung dan Akupuntur, serta anggota Pertubuhan Perubatan Sakit Punggung dengan Laser di Amerika iaitu, Dr. Dhiyak al-Haj Husein telah menjalankan kajian, dalam mengenal pasti pengaruh doa terhadap kesembuhan penyakit.

Beliau telah menjalankan uji kaji terhadap pesakitnya, bagi menentukan sejauh mana doa memainkan peranan yang penting, dalam rawatan penyembuhan penyakit. Seramai 40 orang pesakit berumur dalam lingkungan 30 hingga 65 tahun, yang menderita penyakit punggung selama tiga bulan telah diuji.

Pesakit-pesakit ini dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama menjalani rawatan dengan disusuli doa, dan kumpulan kedua tanpa doa. Beliau telah menggunakan laser bersifat ringan, yang dipancarkan pada 40 titik akupuntur di seluruh badan pesakit.

Dalam kumpulan pertama, laser yang dipancarkan turut dibaca dengan doa yang telah diajarkan Nabi s.a.w. iaitu

“aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, tuhan pencipta singgahsana yang agung agar berkenan menyembuhkanku”

Doa tersebut dibaca sebanyak tujuh kali, pada setiap titik akupuntur ketika menggunakan laser, tanpa diketahui oleh pesakit. Manakala kumpulan kedua tidak disusuli dengan doa, hanya pancaran laser.

Kemudian penilaian dilakukan terhadap pesakit melalui tingkat rasa sakit dan sejauh mana kemampuan pesakit untuk membongkok (rukuk), selama 4 minggu, 8 minggu, 12 minggu dan setelah 6 bulan.

Hasilnya begitu mengagumkan apabila kelompok yang menggunakan doa ternyata mengalami proses kesembuhan secara signifikan sejak terapi dan terus meningkat kesembuhannya.

Sedangkan yang tidak menggunakan doa, hanya mengalami sedikit perubahan sejak selesai terapi, dan selepas dua bulan rasa sakit datang kembali. 

Berdoalah kita kepada Allah semoga pandemik covid19 yang semakin menular ini segera berakhir.

Kajian ini membuktikan bahawa doa adalah salah satu senjata ampuh yang perlu diamalkan tidak kira samada dalam kondisi rawatan atau pun dalam apa jua keadaan. Dan sememangnya ia adalah salah satu amalan yang pasti mendatangkan keajaiban dalam hidup.

Ayuh! Marilah kita bersama-sama panjatkan doa kepada Allah S.W.T semoga ujian pandemik covid19 ini segera berakhir dan rakyat serta negara kita ini berada dalam lindungan rahmat dari Allah, dijauhi segala bala bencana, diberi keselamatan dunia dan akhirat serta kembali pulih seperti sedia kala. Amin Ya Rabb al-A’lamin