PEMANDANGAN di salah sebuah kilang sarung tangan. - Gambar BLOOMBERG
SYARIKAT komersial dan industri mendapat penurunan kadar surcaj elektrik. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mengumumkan industri sarung tangan negara mencatatkan prestasi memberangsangkan tahun lepas walaupun ketika dunia dilanda pandemik COVID-19.

Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali

Berikut kenyataan akhbar dari beliau:

Penularan wabak COVID-19 sejak Januari 2020 telah memberi kesan yang amat signifikan dan telah mengubah landskap aktiviti ekonomi negara. Namun keadaan tersebut telah memberi impak positif kepada sektor hiliran getah terutama industri sarung tangan getah apabila prestasi eksport barangan getah Malaysia sepanjang tahun lalu telah meningkat 73.9 peratus dengan sumbangan sebanyak RM40.97 bilion kepada pendapatan negara.

Peningkatan ini didorong oleh permintaan yang tinggi oleh sektor perubatan dan kesihatan seluruh dunia, dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19. Terkini, produk ini menyumbang hampir 90 peratus kepada pendapatan eksport barangan getah negara, dengan sarung tangan Malaysia menguasai lebih 60 peratus pasaran dunia.

Eksport ke Amerika Syarikat yang merupakan pasaran utama sarung tangan getah Malaysia telah meningkat hampir 84 peratus daripada RM6.47 bilion pada 2019 kepada RM11.89 bilion pada 2020.

Pasaran utama lain bagi produk berkenaan turut mencatatkan peningkatan eksport yang memberangsangkan iaitu Jerman sebanyak 82 peratus, Jepun (84 peratus), United Kingdom (201 peratus) dan China (146 peratus).

Permintaan yang tinggi terhadap sarung tangan getah menyebabkan lebih ramai pekerja diperlukan. Berdasarkan anggaran oleh Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), industri ini memerlukan sebanyak 34.7 peratus atau 25,000 lagi pekerja baharu.

Bagi menyokong usaha ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) telah menyediakan dana subsidi upah sebanyak RM36 juta untuk menggalakkan industri hiliran getah negara mengambil pekerja tempatan dalam industri tersebut.

KPPK terus komited untuk memudah cara dan memantau operasi sektor industri sarung tangan getah untuk kekal beroperasi dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – UtusanTV