Hidung Gao Liu kini rosak setelah menjalani prosedur kecantikan yang salah.

BEIJING – Gara-gara menyangka pembedahan kosmetik akan menjadikan wajahnya lebih cantik, seorang aktres China kini menyesal apabila hidungnya kini rosak setelah menjalani prosedur kecantikan yang salah.

Bintang meningkat naik, Gao Liu yang banyak membintangi banyak filem dan program TV, berkongsikan mimpi ngerinya itu kepada kira-kira 5 juta pengikutnya di laman sosial Sina Weibo, baru-baru ini selepas menyepi selama beberapa bulan.

Dalam hantaran di laman sosial itu, Gao menjelaskan dia menyepi dari arena hiburan kerana kemalangan kosmetik yang mengakibatnya mengalami nekrosis pada hidung.

Keadaan itu membuatkan tisu pada hidungnya mati dan kelihatan berwarna hitam.

Hidung Gao Liu kini rosak setelah menjalani prosedur kecantikan yang salah.

Perkongsian Gao itu mencetuskan perdebatan tentang bahaya pembedahan plastik Yang amat popular di China.

Kata aktres itu, dia bertemu seorang rakannya memperkenalkan sebuah klinik pembedahan plastik di selatan bandar Guangzhou, Oktober lalu, 

Menurutnya, dia kemudiannya bersetuju meneruskan pembedahan pada hidungnya setelah diberitahu hidungnya akan menjadi sedikit kecil dan menyangka ia akan meningkatkan karier seninya.
“Keseluruhan prosedur berlangsung selama empat jam dan dalam tempoh itu dia menyangka akan menjadi lebih cantik.

“Bagaimanapun saya tidak menyangka tempoh empat jam itu akan menjadi titik mula kepada mimpi ngerinya,” katanya kepada pengikutnya.

Gao berkata, berikutan prosedur itu, hidungnya menjadi gatal dan sakit seterusnya dijangkiti simptom serupa walaupun dimaklumkan akan boleh mula bekerja pada Disember atau Januari.

“Kulit di hujung hidung saya menjadi lebih gelap dan lebih gelap, dan hidung saya menjadi nekrosis,” katanya, sambil menambah bahawa dia pernah berkira-kira untuk membunuh diri.

Gao menambah, dia akhirnya dimasukkan ke hospital selama dua bulan dan kerugian 400,000 yuan (RM251,804) akibat kehilangan kerja.

Dia menambah, adalah mustahil untuknya melakukan pembedahan membaikpulih wajahnya dalam tempoh setahun ini berikutan kerosakan teruk pada hidungnya itu.

Portal berita popular, The Paper berkongsikan data Biro Kesihatan Daerah Tianhe yang menunjukkan klinik tempat Gao menjalani pembedahan plastik dan difahamkan pusat itu pernah dikenakan denda sebanyak lima Kali antara Mac dan Jun 2020.

Bagaimanapun tidak jelas peraturan apa yang dilanggar premis tersebut.

Beberapa aduan difailkan kepada pihak berkuasa selepas pendedahan Gao dan siasatan masih berjalan.

Netizen sementara itu mendesak klinik tempat Gao menjalani pembedahan plastik dikenakan tindakan selain menggesa kerajaan menambah baik peraturan kecederaan akibat pembedahan plastik.