Entah apa yang ada dalam kepala bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas ketika menghasilkan memoir “My Story: Justice in the Wilderness”. Sebagai pakar undang-undang Tommy pasti tahu kesan baik dan buruknya.
Apapun pendedahan dalam buku itu mencetuskan kontroversi diikuti tindak balas oleh pihak yang berkaitan sama ada mereka disebut di dalam memoir tersebut atau tidak.
Bagi mengimbas kembali apa yang berlalu.UtusanTV mengumpul semua tindakan dan kenyataan oleh pelbagai pihak berhubung penghasilan memoir berkenaan.
*Ini cerita karut – TUN MAHATHIR MOHAMAD

‘’ Tommy tidak tahu apa-apa langsung berkenaan peletakan jawatan saya. Menurut Tommy, saya beritahu kepadanya bahawa Agong mahukan Wan Azizah sebagai Perdana Menteri Interim (sementara). Ini cerita karut.’’
*Inikah ‘standard’ bekas Peguam Negara? – SHAHRIL SUFIAN HAMDAN

‘’Hubungan Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim, soal perjumpaan dalam Istana Negara, soal perbualan antara TT (Tommy Thomas) dan Tun Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri interim – semua yang patut menjadi sulit diceritakan terbuka. Inikah “standard” bekas Peguam Negara?.’’
*Pemikiran dangkal, tidak faham institusi perkhidmatan awam – TAN SRI IDRUS HARUN

“Saya tidak akan terpengaruh dengan kandungan buku tersebut yang jelas menunjukkan pemikiran dangkal daripada pengalaman singkat oleh orang yang tidak memahami tentang institusi perkhidmatan awam terutamanya Jabatan Peguam Negara dan fungsi Peguam Negara itu sendiri.’’
*Pandangan amat tidak bertamadun, cermin kedangkalan pemikiran – PERSATUAN PEGAWAI KEHAKIMAN,PERUNDANGAN

‘’Pandangan Tan Sri Tommy Thomas amat tidak bertamadun dan mencerminkan kedangkalan pemikirannya. Apa jua perasaan tidak puas hati beliau semasa berurusan dengan pegawai undang-undang tidak wajar dan tidak patut dicoretkan untuk tatapan umum.’’
*Langgar sumpah kerahsiaan – DATUK SERI DR.AHMAD ZAHID HAMIDI

‘’Penulisan Tommy jelas melanggar sumpah jawatan sebagai Peguam Negara untuk menjaga dan menyimpan kerahsiaan kerajaan pada setiap masa walaupun jawatan tersebut tidak lagi disandangnya.’’
*Perlekeh pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara – DATUK DR.ASYRAF WAJDI DUSUKI

‘’Tommy Thomas jelas memperlekeh dan mendakwa pegawai-pegawai undang-undang yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai terlalu birokratik, makan gaji, dan tidak mempunyai komitmen, kompetensi dan semangat dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.’’
*Terkilan kait nama Tun Razak dengan 13 Mei – DATUK SERI NAZIR TUN RAZAK

“Ini sangkaan semata-mata. Lima puluh tahun kemudian dan tanpa sedikit pun bukti yang boleh dipercayai dibawa untuk menyokong pandangan ini.’’
*Bekas Perdana Menteri ambil tindakan undang-undang

Datuk Seri Najib Tun Razak tuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM10 juta daripada Tommy.
*Tuduhan Tommy jatuhkan reputasi saya – HANAFIAH

”Tuduhan Tommy yang saya tidak mampu mendakwa dalam kes berprofil tinggi seperti SRC bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya,”
*’’Saya buat laporan demi keadilan pihak dianiaya, difitnah, dihina’’ – TAN SRI MOHAMED APANDI ALI

‘’Apa yang terkandung dalam buku Tommy Thomas menunjukkan sifat beliau yang memandang rendah dan tidak menghargai individu-individu yang merupakan tulang belakang perundangan negara.’’

