ADA SESIAPA di sini yang mengamalkan minum Tonik Cap Gajah? Kalau ada, anda memang hebat. Sehebat dan selejen tonik herba itu sendiri. Jangan terkejut kerana tonik bertenaga itu telah berada di pasaran sejak 1921 lagi. Ertinya, tahun ini genap usianya 100 tahun. Tahniah!
Bagi mereka yang sekarang berusia lebih 50 tahun ke atas, pasti ramai yang kenal dengan Tonik Cap Gajah. Ini kerana ia antara minuman tonik yang terkenal pada sekitar tahun 1960an-70an. Waktu itu minuman herba bertenaga ini diiklankan di Radio Singapura pada setiap hari selama 15 minit mulai pukul 8.30 malam.
Selain itu, Tonik Cap Gajah turut diiklankan satu muka penuh di majalah Mastika. Ketika itu Mastika sedang popular. Ia berkonsepkan sastera dan budaya serta bertulisan jawi.

Apa khasiat Tonik Cap Gajah? Pada iklan di Mastika itu dicatatkan ia adalah ubat kuat pembina darah. Setiap pembelian akan dihadiahkan sebatang sudu yang dilekatkan di botolnya dan sebiji gelas plastik berwarna coklat. Pemberian hadiah tersebut bermula pada 1 Jun 1961.
Dicatatkan juga pada iklan berkenaan bahawa pada camca itu ada tertulis tanda perniagaan Tonik Chap Gajah dan : `Sekiranya para pelanggan atau pembeli dapati camca itu tiada atau tidak ada tanda perniagaan kami janganlah dibeli kerana itu adalah palsu.’ Maknanya pada waktu itu juga sudah wujud perniagaan haram menciplak produk niaga orang lain.
Hebat tidak hebatnya Tonik Cap Gajah ini, syarikat pengeluarnya, A.S. Mohamed Kassim & Co. pernah menaja rekod EP kugiran The Sangam Boys untuk mempromosi minuman berkenaan. Kugiran The Sangam Boys merupakan sebuah kumpulan pancaragam dari Singapura pada zaman Pop Yeh Yeh, ditubuhkan oleh penyanyi Halim Yatim dan A. Aziz Abdullah.

Album pertamanya dirakam di bawah label Olympic Record (1967) dan meletup melalui lagu Janda-Ku serta Jaoh Pandangan. Hasil populariti itu, Halim Yatim dan The Sangam Boys telah menjadi artis jemputan untuk filem Pop Muda (1968) terbitan studio Cathay Keris di Singapura.
Penyanyi-penyanyi seterusnya yang pernah diiringi oleh The Sangam Boys di bawah label Olympic ialah S. Roha, R. Selamat dan S. Hashim Abdullah, pemimpin kedua kugiran ini. Bermula dengan S. Roha, kugiran ini menukar corak persembahannya daripada irama Pop Yeh Yeh kepada irama Hindustan.
Kembali kepada Tonik Cap Gajah: Pada zaman 1960-an dan 70an dahulu, minuman ini sangat terkenal di negeri-negeri Semenanjung, Singapura, Sarawak, Borneo Utara, Brunei dan Thailand. Harga sebotol yang bersaiz besar ialah $2.50, manakala saiz kecil, $1.50.
Ketika itu pejabat A.S. Mohamed Kassim & Co., beralamat di No. 28, Jalan Raja Bot, manakala cawangannya di Singapura ialah di No. 79, Hill Street.

Zaman sudah berubah. Bentuk botol dan harga tonik ini pun sudah berubah. Bagi botol bersaiz 320 mililiter harganya ialah RM16. Selain di premis fizikal, minuman herba berkhasiat ini turut dijual di platform e-dagang terkenal. Pada keterangan produk dicatatkan bahawa Tonik Cap Gajah membantu;
1)Meningkatkan tenaga
2)Meningkat peredaran darah
3)Membuang angin
4)Merawat batuk.
Tonik Cap Gajah sudah semestinya mempunyai sijil halal JAKIM. Kilang dan pejabatnya kini terletak di Batu Caves, Selangor, dengan ejen di seluruh negara serta Singapura.
Tahniah dan Selamat Ulang Tahun ke 100 diucapkan kepada Tonik Cap Gajah.

