Sri Lanka bukan saja terkenal sebagai pengeluar kulit kayu manis utama dunia, tetapi juga popular dengan pelbagai tradisi unik masyarakatnya. Salah satunya ialah memancing di atas kayu pacak.

Cara mereka memancing di tepi laut agak berbeza. Tanpa penggunaan sebarang alatan canggih, para pemancing di sini hanya menggunakan joran yang diperbuat daripada sebatang kayu.

Lokasi para pemancing tempatan di sini bukan di darat sebaliknya, di atas air. Mereka tidak perlu berada di atas bot tetapi memancing di atas sebatang kayu pacak.

Tradisi unik nelayan Sri Lanka.

Teknik pemancing dari Sri Lanka ini dipanggil ‘Stilt Fishing’  atau bahasa mudahnya pancing panggung. Kebiasaannya, setiap pemancing di sini akan duduk pada sebatang kayu pacak berukuran dua meter.

Meskipun tampak membosankan dan memakan masa lama, tradisi memancing kuno tersebut masih lagi diteruskan sehingga hari ini. Ia menjadi sebahagian kebudayaan yang masih dipertahankan oleh pemerintah di negara berkenaan.

Disebabkan keunikannya itu, amalan memancing ini turut dijadikan sebagai tarikan pelancongan yang popular di kalangan pengunjung dari luar negara.

Tradisi memancing ini mula diperkenalkan sejak tahun 1940-an lagi. Pada ketika itu, penduduk tempatan sangat terhad untuk mendapatkan sumber makanan disebabkan konflik peperangan dunia kedua. ‘Stilt Fishing’  boleh dianggap sebagai antara ikhtiar hidup rakyat di Sri Lanka.

Tradisi unik ini tidak memerlukan peralatan canggih.

Kini, teknik pancing di atas kayu pacak masih diteruskan sebagai isyarat bantahan penggunaan pukat tunda yang semakin berleluasa di perairan negara tersebut. Kewujudan kapal-kapal besar ini secara tidak langsung menjejaskan sumber pendapatan golongan nelayan kecil di sana.

Pada tahun 2004, aktiviti pancing di atas kayu pacak ini pernah terhenti seketika. Difahamkan, ia berpunca akibat bencana tsunami yang telah memusnahkan beberapa buah kawasan pantai yang menjadi lokasi tumpuan para pemancing tempatan.

Beberapa tahun selepas itu, tradisi unik ini diteruskan semula. Malah, populariti amalan turun-temurun tersebut semakin mendapat perhatian dari seluruh dunia. Sebuah dokumentari khusus mengenai aktiviti memancing ini telah diterbitkan oleh majalah terkenal dunia, National Geographic. Secara tidak langsung, laporan terbabit telah membuka mata masyarakat dunia tentang kebudayaan unik masyarakat di Sri Lanka.

Selain menjual hasil tangkapan ikan, para pemancing tempatan turut mendapat pendapatan sampingan hasil sumbangan daripada para pelancong dari luar negara. Kebiasaan, para pengunjung akan memberikan sedikit tip berupa wang kepada kumpulan pemancing di sana.

Ia dikatakan sebagai pemberian ikhlas yang membenarkan para pengunjung dari luar merakam gambar mereka ketika sedang memancing. Siapa sangka, pendapatan sampingan itu kadang-kadang menguntungkan berbanding hasil jualan ikan. 

Meskipun tradisi unik itu masih dipraktikkan sehingga hari ini, tetapi bilangannya semakin berkurangan. Hanya segelintir individu tegar yang masih meneruskan aktiviti memancing di atas kayu pacak ini. Selebihnya, ramai yang beralih arah untuk melakukan pekerjaan lain.

Aktiviti memancing di atas kayu pacak boleh disaksikan pada beberapa buah tempat seperti pantai Unawatuna, pantai Weligama, pantai Koggala, pantai Khataluwa dan pantai Kalpitiya.