TOKYO – Jepun mengubah pendekatan pematuhan sukarela yang diamalkan sebelum ini dengan meminda rang undang-undang bagi mengenakan denda terhadap mereka yang melanggar peraturan penjarakan fizikal ketika negara itu berusaha memerangi pandemik Covid-19.
Nikkei Asia melaporkan, rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Jepun atau dikenali sebagai Diet Rabu minggu lalu dijangka dikuatkuasakan pertengahan Februari dengan hanya memberi makluman singkat kepada rakyat.

Jepun pernah mendapat pujian kerana mengekalkan kadar jangkitan Covid-19 rendah tanpa peraturan ketat, namun peningkatan kes sejak November lalu membawa kepada semakan semula langkah dikenali ‘model Jepun’ atau pematuhan sukarela.
Ini berikutan Tokyo berdepan tugas meyakinkan masyarakat dunia bahawa Jepun mampu menjadi penganjur Sukan Olimpik musim panas yang mana Perdana Menteri, Yoshihide Suga memutuskan untuk meneruskan temasya itu. Di sini, lima perkara perlu diketahui tentang perubahan undang-undang itu.
1) Mengapa sekarang?
Jepun bergelut mengawal gelombang baharu Covid-19 di sebalik pengisytiharan perintah darurat sejak 8 Januari. Perintah berkurung dikuatkuasakan di wilayah metropolitan dilanjutkan sehingga 7 Mac. Dalam tempoh itu, purata kes baharu dicatatkan pada angka sekitar 3,000 kes, lebih tinggi berbanding sebelum pelaksanaan langkah itu yang hanya merekodkan 500 kes.
Kadar hospital yang dihuni pesakit kekal tinggi di wilayah metropolitan dengan pesakit yang serius dijangkiti mengambil masa hampir sebulan untuk pulih.
Program vaksin bermula bulan ini tidak dilihat sebagai penyelesai masalah kerana ia juga dibuat secara sukarela dan mengambil masa berbulan untuk dilaksanakan ketika kapasiti katil hospital dijangka tidak bertambah dengan cepat. Kerajaan berharap undang-undang tegas itu akan mengawal jangkitan Covid-19 dan menjadi penyelesaian jangka panjang kepada peningkatan kapasiti dan pemberian vaksin.
2) Tiada lagi perlanggaran peraturan
Gabenor wilayah akan dibenar mengeluarkan arahan kepada pengendali perniagaan seperti bar dan karaoke terbabit sama ada menutup atau memendekkan waktu operasi selain mengenakan denda sehingga 300,000 yen (RM11,591) ke atas pesalah. Namun gabenor perlu melaporkan perkara itu sebelum boleh menjatuhi hukuman kepada pesalah.
Orang dijangkiti Covid-19 pula berdepan denda 500,000 yen (RM19,319) jika enggan dirawat di hospital atau meninggalkan hospital sebelum sembuh.Denda sehingga 300,000 yen (RM11,591) dikenakan ke atas individu enggan bekerjasama dengan petugas kesihatan yang menjalankan ujian jangkitan atau temubual.
3) Hospital punya peranan untuk dimainkan
Hospital kini dikehendaki memainkan peranan lebih besar dalam usaha kerajaan memerangi Covid-19. Kebanyakan pesakit dirawat di hospital kerajaan yang besar. Hospital swasta jauh lebih kecil kurang bekerjasama merawat pesakit bimbang berlakunya penularan dalaman dan perniagaan mereka terjejas. Menteri Kesihatan dan Gabenor selepas ini dibenarkan meminta hospital menerima pesakit Covid-19 atau berdepan tindakan nama mereka disenaraikan jika enggan.
4) Tiada pengawasan digital
Pengawasan digital ke atas individu tidak termasuk dalam peraturan itu. Di beberapa negara, kerajaan mempunyai akses kepada data lokasi individu dan menggunakannya untuk mengesan mereka yang menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.
Kerajaan Jepun bagaimanapun cuba mempercepatkan pendigitalan sistem penjagaan kesihatannya berikutan pandemik Covid-19. Ia sedang cuba mewujudkan sistem seluruh negara untuk menguruskan kempen inokulasi dan menyimpan rekod penvaksinan.
5) Negara Asia lain
Kerajaan Jepun setakat ini lebih berwaspada tentang sebarang langkah untuk menyekat hak asasi individu bimbang berdepan penentangan masyarakat dan parti pembangkang.
Kerajaan Asia lain tidak teragak-agak memperkenalkan peraturan yang boleh dikuatkuasakan. Di Korea Selatan, pelitup muka adalah wajib dipakai termasuk di jalan raya di beberapa kawasan perbandaran. Pesakit Covid-19 perlu menjalani kuarantin kendiri atau ditangkap. Terdapat kes individu dipenjara beberapa bulan kerana ingkar peraturan itu.
Di Taiwan, mereka yang ingkar perintah kuarantin kendiri berdepan denda sehingga $30,000 (RM4,332).

