PELAKON Zarina Anjoulie bersyukur apabila urusan kes penceraiannya dengan Eilyas Azhar diselesaikan dengan cara baik di Mahkamah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada hari ini.
Zarina atau Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul,34 hadir ke mahkamah dengan memakai jubah serta tudung berwarna hitam.
“Assalamualaikum semua, Anju hari ini di mahkamah. Alhamdulillah, dah selesai semua kes cerai, semuanya berjalan dengan lancar dan semua orang sangat membantu.
“Terima kasih banyak atas kata-kata semangat dan sokongan terhadap saya.
“Saya sangat hargai semua mesej dan doa anda kepada saya. Saya tak tahu bagaimana nak membalasnya, terima kasih,” katanya dalam satu perkongsian video yang dimuat naik di Instagramnya.
Pada 27 Januari lalu, menerusi akaun Instagram, Zarina mengumumkan mengenai dia dan Eilyas sudah bercerai.
Hanya sempat bergelar isteri selama enam bulan, Zarina bagaimanapun tidak kesal dengan keputusan yang dibuat dan mahu terus ‘move on’.
Zarina dan Eilyas berkahwin pada 17 Julai 2020 di Pejabat Agama Islam Daerah Seremban, Negeri Sembilan setelah empat tahun bergelar janda.
Pelakon Anak Pontianak itu pernah berkahwin dengan lelaki berasal dari Brunei pada 2015 namun bercerai pada Disember 2016.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan anak lelaki bernama Awangku Gabriel Martin Ezra.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

