Boleh lebih dua semeja, tiada lagi had penumpang di seluruh negara

0
9408
had penumpang

Mulai esok, tiada lagi had jumlah penumpang bagi sesebuah kenderaan sebaliknya ia tertakluk kepada jumlah kapasiti tempat duduk.

Kebenaran itu diberikan untuk seluruh negara tanpa mengira sama ada negeri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Selain itu, arahan makan di kedai yang terhad kepada dua orang semeja juga dibatalkan di seluruh negara termasuk negeri PKP.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya bilangan pelanggan tertakluk kepada keluasan meja di premis berkenaan dengan syarat perlu ada penjarakan fizikal.

Menurut beliau, selain itu, majlis akad nikah bagi negeri-negeri PKP juga dibenarkan diadakan di masjid tanpa lagi terhad di pejabat agama sama seperti prosedur operasi standard (SOP) untuk negeri PKPB dan PKPP.

“Semua perubahan kepada SOP untuk PKP ini dibuat setelah Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan rayuan ramai,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ismail Sabri dalam sidang akhbar itu turut menjelaskan yang car boot sale dan kedai buku telah dibenarkan dalam tempoh ini sama ada di negeri PKP, PKPB atau PKPP.

Katanya, mengenai waktu operasi sektor peruncitan pula, negeri-negeri PKP kekal setakat jam 10 malam berbanding negeri-negeri PKPB dan PKPP yang boleh dibuka sampai 12 tengah malam.

“Begitu juga dengan perniagaan wellness seperti spa, urut dan refleksiologi hanya dibenarkan di negeri PKPB dan PKPP. Negeri PKP masih tidak dibenarkan operasi tersebut,” jelasnya.

Secara umumnya, tegas beliau, SOP bagi PKPB dan PKPP adalah sama seperti diumum sebelum ini.

Misalnya kata beliau, majlis sosial seperti kenduri, pertunangan dan sambutan hari jadi serta aktiviti MICE dan mesyuarat dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP dengan kapasiti 50 peratus.

“Di negeri-negeri PKP, aktiviti sosial dan MICE masih tidak boleh,” kata Ismail Sabri.

Katanya, bagi majlis di tempat terbuka seperti kenduri kahwin di kampung, tiada had kapasiti tetapi perlu meastikan ada SOP penjarakan fizikal dan berkaitan.

“Ini seperti SOP merekodkan suhu dan butiran tetamu. Ini kena buat walaupun di kampung sekali pun,” ujarnya.

Baca artikel berkaitan: PKP di 4 negeri dilanjut, namun boleh bergerak lebih 10 km

Dalam pada itu, berhubung pelancongan pula, aktiviti seperti taman rekreasi, zoo, farm, muzium, galeri dan lain-lain dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus.

Namun katanya, di negeri-negeri PKP masih belum dibenarkan.

“SOP ini ada pelbagai lagi, boleh rujuk ke laman web MKN untuk perinciannya.

“Pada dasarnya di negeri PKPP dan PKPB banyak aktiviti telah dibuka. Saya harap para peniaga berkaitan kalau tak pasti sama ada operasi mereka dibenarkan atau tidak, silalah rujuk MKN.

“Kita tak mahu ada yang keliru sampai tak berniaga sedangkan pengumuman telah dibuat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengingatkan supaya tiada siapa mengambil kesempatan di sebalik kelonggaran yang diberikan ini.

“Ingat, walau kebebasan diberikan, yang menanggung akibat adalah diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

“Kalau tiada keperluan di luar rumah, lebih baik berada di dalam rumah kerana itu lebih selamat,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.