Samsons
Samsons lancar single Jika Nanti

Kumpulan Samsons baru saja melancarkan album terbaru mereka yang diberi judul V. Bertepatan dengan judulnya, ini adalah album kelima mereka setelah lebih dari 17 tahun terlibat dalam industri muzik Indonesia.

Album ini melibatkan puluhan pemuzik terdiri daripada anggota Budapest Scoring Symphony Orchestra bagi memberikan sentuhan muzik orkestra dalam semua lagu.

Tidak menghairankanlah apabila nuansa muzik yang mereka paparkan dalam album ini kedengaran hebat kerana diiringi alunan bunyi orkestra.

Samsons mendapatkan khidmat 55 pemuzik terbaik orkestra di Budapest, terdiri daripada 40 orang pemain alat muzik bertali (strings players), 7 orang pemain alat muzik tiup kayu (woodwinds players), 7 orang pemain alat muzik bras (brass player) serta seorang pemain genderang (percussionist), yang sering membuat skor muzik untuk filem-filem Hollywood.

Dalam album V, terdapat 12 lagu yang dipersembahkan oleh Samsons untuk peminat mereka. Beberapa buah lagu telah dilancarkan dahulu sebagai single; Ternyata cinta, Tuhan tidak pernah salah, I Love U, Cinta Mati dan juga Jika Nanti yang dipilih sebagai single pertama.

“Lagu Jika Nanti menjadi trek fokus untuk album V memandangkan ia mempunyai video muzik yang dihasilkan dengan jalan cerita yang bagus sesuai dengan lirik lagunya.

“Mendengar lagu semasa menonton video muzik tersebut membolehkan anda menikmati single ini lebih mendalam sambil memanjakan mata anda dengan visual yang menarik.

“Seperti lazimnya, Samsons tetap memberikan warna muzik pop rock balada untuk album V. Dan tema cinta tetap menjadi senjata utama untuk diangkat dalam cerita di setiap lirik lagu.

“Lagu-lagu dengan tema percintaan seolah sudah sebati dengan Samsons, namun tema cinta pada umumnya boleh ditafsirkan atau diterjemahkan kepada banyak perkara,” kata Irfan Aulia.

Tahun ini juga, Samsons meraikan 15 tahun lagu Kenangan Terindah, lagu ini merupakan salah satu lagu hits yang menjadi fenomena daripada Samsons dan masih kerap didengar sehingga kini.

Sempena meraikan 15 tahun lagu “Kenangan Terindah”, Samsons akan memberi kejutan kepada pendengarnya,

Nantikan!

TREK LAGU:

  1. Lalu
  2. Sampai Padamu
  3. Ternyata Cinta
  4. Tuhan Tak Pernah Salah
  5. Andai Aku Tahu
  6. Jika Nanti
  7. I Love U
  8. Denting Asmara
  9. Cinta Mati
  10. Tak Semestinya
  11. Move On
  12. Sahabat