‘
KUALA LUMPUR – Datuk Dr.Puad Zarkashi hari ini menegaskan, beliau tidak akan membiarkan dirinya dibuli oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti mana UMNO dibuli.
Oleh itu Ahli Majlis Tertinggi UMNO tersebut menegaskan, tidak akan meminta maaf kepada Perdana Menteri berhubung kenyataan beliau bahawa kuarantin tiga hari untuk menteri diwartakan oleh kerajaan kerana Muhyiddin enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan ke Indonesia.
‘’Saya sahkan telah menerima LOD (letter of demand) daripada Peguam Perdana Menteri. Dia akan ambil tindakan saman RM10 juta terhadap saya. Saya akan serahkan kepada peguam saya untuk respons surat LOD tersebut.
”Sebagai individu yang dijamin kebebasan bersuara, saya tidak akan benarkan diri saya dibuli oleh Tan Sri Muhyiddin seperti mana UMNO dibuli,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Muhyiddin menuntut Mohd Puad Zarkashi memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah Perdana Menteri
Rabu lalu, media melaporkan, dalam surat tuntutan dihantar firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership kepada Mohd Puad, Muhyiddin, antara lain menuntut Mohd Puad memadam kenyataan bertarikh 9 Februari dari laman Facebooknya.

Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Mohd Puad bahawa Muhyiddin enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi dari Jakarta pada 5 Februari lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri.
Dr.Puad yang merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri berkata, beliau tidak perlu memohon maaf dan tidak perlu memadam posting dalam Facebooknya.
‘’Justeru saya memilih ke mahkamah. Ini akan memberi peluang kepada saya untuk bersama rakyat yang membantah amalan “antara dua darjat” dalam isu kuarantin,’’ katanya yang pernah bersama Muhyiddin sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pelajaran.

Dr.Puad yang dianggap antara pemimpin UMNO paling lantang mengkritik Kerajaan PN mendakwa, beliau dituduh memfitnah Perdana Menteri, sedangkan hanya bertanya dan meminta penjelasan.
‘’Kalau itupun disaman maka amat wajar saya melawan di mahkamah. Oleh kerana peraturan kuarantin 3 hari untuk Menteri dibuat tergesa-gesa, maka ia isu “kepentingan awam” yang perlu ditanya dan dipersoalkan.
‘’Ini kerana dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan disebut dengan jelas rakyat berhak mendapat layanan yang adil dan saksama. Maka apakah ‘kuarantin’ 3 hari tidak bertentangan dengan Artikel 8? Pada saya amat jelas tindakan saman ini bertujuan untuk menutup mulut dan menakutkan para pengkritik. Saya tidak berganjak, ‘’ katanya.

