Perak mencatatkan kes harian COVID-19 tertinggi di seluruh negara hari ini yang antaranya disebabkan kluster tempat kerja di Hilir Perak.
Justeru tepat pada masanya apabila asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat selepas ujian saringan Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas 1,966 individu yang mengesan 185 orang positif COVID-19.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD bermula 22 Februari sehingga 7 Mac 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,808 pekerja warganegara serta bukan warganegara yang tinggal di lokaliti ini dan seterusnya untuk mengawal jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kembali lebih 3,000 kes akibat kluster tempat kerja di Perak
Beliau juga berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Penjara Taiping dan Kuarters Kakitangan, Taiping, Perak yang berakhir esok.
Seentara itu, 493 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP semalam dengan 484 dikompaun, manakala sembilan lagi individu direman.
Menurut beliau, antara kesalahan direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (133), tiada penjarakan fizikal (132), gagal menyediakan peralatan atau merekod pelanggan (117) dan tidak memakai pelitup muka (70).
Turut dikenakan tindakan, aktiviti pusat hiburan (15), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (13), keluar rumah tanpa alasan munasabah (5), aktiviti sukan (2) dan lain-lain (6).
“Seramai 3,060 Pasukan Pematuhan membabitkan 14,109 anggota membuat pemantauan di 5,894 restoran, pasar raya (4,514), bank (4,217), penjaja (2,697), pasar awam/tani (2,142), kilang (1,673) dan pejabat kerajaan (733).
“Turut dipantau ialah tempat ibadah (3,733), tempat riadah (1,680), terminal pengangkutan darat (2,044), terminal pengangkutan air (320) dan terminal pengangkutan udara (104),” ujar Ismail Sabri.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

