PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah merupakan penerima pertama vaksin COVID-19 yang akan mendapatkan suntikan mereka di Putrajaya, Rabu ini selepas mesyuarat jemaat menteri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang pada asalnya akan dilancarkan Jumaat ini dipercepatkan kepada Rabu selepas kedua-dua tokoh tersebut menjadi penerima terawal suntikan vaksin tersebut.
“Setakat ini terdapat 271,802 senarai nama yang melibatkan petugas barisan hadapan telah didaftar untuk menjadi penerima suntikan daripada fasa pertama program imunisasi tersebut,” katanya yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Suntikan ke atas kumpulan penerima terawal termasuk Muhyiddin akan dibuat di Klinik Kesihatan Putrajaya Rabu ini selepas Mesyuarat Jemaah Menteri.
BERITA BERKAITAN Vaksin COVID-19 tiba di KLIA, sinar harapan yang amat dinanti
Sebelum itu beliau ‘menyambut’ ketibaan vaksin pertama negara di KLIA yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Khairy berkata, daripada senarai penerima awal vaksin tersebut, 57.3 peratus adalah anggota petugas kesihatan dan bakinya adalah anggota bukan pasukan kesihatan seperti polis, tentera, bomba dan sebagainya.
Katanya, vaksin yang tiba hari ini akan dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan vaksin seluruh negara yang melibatkan enam di Selangor; Johor (4); Kuala Lumpur (3); Pulau Pinang (2) dan Putrajaya (1).
“Mengenai penghantaran ke Sabah dan Sarawak, persiapan masih dilakukan untuk tujuan berkenaan,” katanya,
Tambah Khairy, penghantaran kedua vaksin oleh Pfizer akan diterima pada 26 Februrari ini dengan penghantaran seterusnya akan dibuat setiap dua minggu.
“Vaksin dari Sinovac pula akan diterima pada 27 Februari,” katanya.
Sementara itu, kata Dr Adham, program pemantauan selepas suntikan vaksin akan terus dilakukan bersama Pfizer.
“Selain itu, walaupun penghantaran dan pengedarannya memerlukan beberapa keperluan tertentu seperti penyejuk beku beruhu sangat rendah, Alhamdulillah vaksin Pfizer ini penghantarannya dapat dilakukan terus ke lokasi,” ujarnya.
Ikuti pelbagai berita dan artikel terkini di Facebook, Twitter dan Instragram UtusanTV.com

