Kuala Lumpur – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan malam ini membidas sikap seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dianggap beliau seolah-olah ada ‘assignment’ untuk mempersoal dan menyerang UMNO secara terbuka.
Kenyataan Shahril itu dipercayai merujuk kepada Dr.Muhammad Faiz Na’aman yang meminta agar UMNO mendedahkan keputusan rasmi mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang diadakan pada Jumaat lalu.
Dr.Muhammad Faiz yang sebelum ini menggesa isu akaun rahsia UMNO disiasat berkata, perkara berkenaan penting untuk mereka merancang kempen sama ada secara bersama atau berasingan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun Shahril membalas kenyataan Dr.Muhammad Faiz itu dengan berkata, ‘’Sudah beberapa kenyataan mutakhir dia yang tak henti-henti menyentuh UMNO. Tidak nampak pula kenyataan tentang partinya sendiri.’’
Kata Shahril, jika UMNO mahu mengumum atau mendedahkan sebarang keputusan, UMNO akan lakukan mengikut waktu dan garis masanya sendiri.
”Sebarang kenyataan rasmi mengenai keputusan dasar akan datang dari Presiden atau Setiausaha Agung. Gesaan terbuka melalui media untuk UMNO mendedahkan perihal dalaman parti hanya membongkar kelemahan pihak yang menggesa tersebut,’’ katanya dalam satu kenyataan malam ini.
UtusanTV semalam melaporkan, MT UMNO yang bermesyuarat di Janda Baik membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dan menolak jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Bagaimanapun menurut sumber, pendirian UMNO mengenai hubungan dengan Pas dalam Muafakat Nasional tidak dinyatakan.

