401,105 pelajar SPM cipta sejarah, duduki peperiksaan dengan norma baharu

Dari Penulis

KUALA LUMPUR – Selepas menjadi pelajar Tingkatan Lima paling lama dalam sejarah negara, seramai 401,105 pelajar tersebut mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dalam suasana negara masih berdepan pandemik COVID-19.

Disebabkan penularan pandemik COVID-19, kumpulan pelajar itu telah mengikuti sesi kelas pengajian terpanjang iaitu hampir 14 bulan namun pembelajaran bersemuka di dalam kelas paling singkat – hanya sekitar empat bulan.

Selepas tarikh peperiksaan itu tertangguh sebanyak dua kali, hari ini, selain berbekalkan pen dan ilmu pengetahuan, calon SPM 2020 perlu juga membawa ‘perisai’ bersama mereka iaitu pelitup muka atau pelindung muka bagi mencegah penularan wabak itu.

Pada hari pertama peperiksaan hari ini, calon akan menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, masing-masing bermula jam 8 pagi dan 2 petang.

Kumpulan pelajar Tingkatan Lima termasuk pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) itu menjadi kumpulan pertama yang menduduki peperiksaan SPM dalam pembudayaan norma baharu.

BERITA BERKAITAN COVID-19: Calon dibenar tangguh peperiksaan SPM, STPM jika dapat pengesahan doktor

Sebahagian daripada pelajar-pelajar mengaminkan doa sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Sekolah Menegah Kebangsaan Tengku Ampuan Rahimah, Klang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Bagi menjamin keselamatan calon sepanjang peperiksaan, penyediaan 3,310 pusat peperiksaan SPM di seluruh negara dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah proses disinfeksi dewan peperiksaan.

Semua pelajar juga perlu menyerahkan borang perisytiharan kesihatan yang lengkap setiap hari sebelum memasuki dewan peperiksaan selain mengambil suhu badan dan memakai pelitup muka sepanjang tempoh menduduki peperiksaan.

Selain itu, calon yang didapati positif COVID-19 atau calon yang diarahkan menjalani kuarantin kerana merupakan kontak rapat tidak dibenarkan menduduki peperiksaan pada hari berkenaan dan hanya boleh menduduki kertas peperiksaan yang dijadual semula selepas disahkan berada dalam keadaan sihat oleh doktor yang merawat berserta surat pengesahan doktor.

Seramai 48,014 pengawas peperiksaan akan memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya sepanjang tempoh peperiksaan yang dijadualkan berlangsung hingga 25 Mac.

Seorang guru memeriksa suhu badan salah seorang pelajar sebelum masuk ke dewan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Sekolah Menegah Kebangsaan Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Calon SPM pada hari ini juga adalah kumpulan pelajar yang mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype gara-gara penularan pandemik COVID-19.

Peperiksaan SPM, SVM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diadakan pada November setiap tahun, namun bagi tahun 2020, peperiksaan terbabit terpaksa ditangguh kepada Januari 2021 sebelum dianjak sekali lagi kepada Februari 2021 berikutan penularan pandemik COVID-19 yang memaksa penutupan sekolah.

TENANG..Sebahagian daripada pelajar-pelajar yang hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Sekolah Menegah Kebangsaan Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid
Sebahagian daripada pelajar-pelajar mengisi borang deklarasi saringan Covid-19 sebelum masuk ke dewan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Sekolah Menegah Kebangsaan Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid
Sebahagian daripada pelajar-pelajar bersiap bersedia sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Sekolah Menegah Kebangsaan Tengku Ampuan Rahimah, Klang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Anwar dukacita, rakam takziah pemergian bekas Presiden Timor-Leste

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan seluruh rakyat Timor-Leste atas pemergian bekas Presiden...

More Articles Like This