KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin UMNO yang menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO di Janda Baik, Pahang kelmarin dilaporkan positif pandemik COVID-19.
Astro Awani melaporkan, difahamkan ahli MT berkenaan merupakan pemimpin kanan UMNO Bahagian di Selangor.
Susulan itu, beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan dikatakan telah melakukan ujian saringan dengan segera.
Sumber yang juga pegawai khas kepada seorang menteri Kabinet berkata, menteri itu segera membuat ujian saringan keesokan harinya selepas mendapat berita seorang ahli MT positif COVID-19.
“Benar, Datuk Seri (menteri berkenaan) hadir pada mesyuarat itu. Esoknya terus beliau buat swab test,” katanya ketika dihubungi
Bagaimanapun, pegawai berkenaan enggan mendedahkan identiti sebenar ahli MT yang dikatakan positif COVID-19, sekali gus membawa risiko kepada semua yang hadir dalam mesyuarat itu.
Antara pemimpin yang menghadiri mesyuarat MKT yang berlangsung di Institut Latihan Memperkasakan Ilmu (ILMU) itu ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Setakat ini tidak ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh Ibupejabat UMNO.
Mesyuarat tersebut dikatakan berlangsung selama tiga jam bermula pukul 8.30 malam bagi membincangkan dua isu penting iaitu berkaitan hubungan UMNO dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Semalam UtusanTV melaporkan, MT membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan menolak jawatan berkenaan.
Kedudukan hubungan UMNO dengan Pas dalam Muafakat Nasional masih belum diputuskan. Bagaimanapun permuafakatan itu dijangka berakhir jika UMNO membuat keputusan tidak mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana Pas adalah anggota rasmi perikatan itu.

