janna nick

AKAUN Instagram Janna Nick yang sebelum ini dinyah aktif, kini sudah boleh diakses semula.

Janna yang juga pelakon dan penyanyi, dilihat telah memuat naik klip video drama Marry Me, Senorita yang turut menampilkan dirinya sebagai bintang utama.

Malah, dua jam lalu, Janna atau Nurul Jannah Muner turut memuat naik sekeping gambarnya yang bertudung. Setakat ini, jumlah pengikut Janna tidak berkurangan dan masih lagi mengumpul angka 6.2 juta.

“KIta tidak dapat mengawal orang lain untuk menerima dan memahami diri kita. Apa sahaja kita lakukan dan katakan akan ditapis melalui cara pemerhatian seseorang yang pernah lalui dan rasainya secara peribadi

“Terus lakukan apa sahaja yang anda suka dengan berintegriti dan penuh rasa cinta,” luahnya di kapsyen.

Pengacara Melodi itu juga tidak menutup komen , namun dia telah membuat tetapan mod terhad di ruangan tersebut.

Semalam nama Janna menjadi ‘panas’ selepas netizen bengang dan marah dengan tindakannya yang didakwa telah menghina kematian anggota kumpulan SHINee, Jonghyun dan Lisa Blackpink.

Namun, Janna yang menganggap tuduhan liar yang dilemparkan kepadanya adalah satu fitnah berat dan telah menyebabkan dirinya, keluarga dan syarikatnya turut mendapat serangan peribadi oleh netizen.

Demi melindungi diri dan keluarganya, Janna telah membuat laporan polis dan sudah mengenal pasti pengguna laman sosial yang menyebarkan fitnah atas namanya. Difahamkan, pelakon Melastik Ke Hatimu itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap si pembuli siber.

Dalam pada itu, menerusi pemerhatian URTV, akaun Twitter Janna masih lagi belum boleh diakses.