KERAJAAN hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Hostel Centennial, Kampung Acheh, Setiawan, Perak, bermula esok (25 Feb) hingga 10 Mac.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni asrama serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, dalam laporan situasi kes COVID-19 di hostel itu hari ini, sehingga 21 Februari, KKM telah melaksanakan sebanyak 349 ujian saringan dan daripada jumlah itu 125 orang didapati positif COVID-19.
“KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi,” katanya.
Katanya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di asrama tersebut dari 25 Februari hingga 10 Mac 2021.
BERITA BERKAITAN: PKPD di sebuah kampung di Sarawak, sebuah lagi di Sabah mulai esok
Sementara itu, Ismail Sabri menyatakan dalam operasi pematuhan yang dijalan semalam, seramai 253 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 231 dikompaun manakala 22 lagi direman.
Antara kesalahan direkodkan ialah:
- Gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (75)
- Tidak memakai pelitup muka (61)
- Aktiviti Perjudian (52)
- Rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (37)
- Tiada penjarakan fizikal (21)
- Premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (6)
- Tiada dokumen pengenalan diri (1)
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

