Kes baharu melonjak 3,545, N. Sembilan lebih 1,000 kes

0
276
tiada demam

Kes baharu COVID-19 kembali melonjak kepada 3,545 kes dengan Negeri Sembilan mencatatkan kes tertinggi dengan 1,392 penularan.

Selain itu, Selangor pula melaporkan 581 kes baharu diikuti Kuala Lumpur (381 kes), Sarawak (353 kes) dan Johor, 318 kes,

Menurut media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini juga menyaksikan 12 lagi kematian dilaporkan dan ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 menjadi 1,088.

Pada masa sama, daripada 30,677 kes aktif COVID-19 yang dirawat di seluruh negara, 189 individu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 88 memerlukan bantuan pernafasan.

N. Sembilan tertinggi

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes mendadak di Negeri Sembilan adalah disebabkan oleh pengesanan aktif daripada Kluster Industri Sungai Gadut.

Katanya, kluster ini telah diumumkan pada 22 Februari 2021 hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang pembuatan produk kayu yang terletak di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut, KM 11, Seremban.

“Pada hari ini, sebanyak 1,338 kes baharu untuk kluster ini dilaporkan. Jumlah keseluruhan kes dalam kluster ini sehingga 24 Februari 2021 adalah 1,432 kes.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 318 kes merupakan warganegara manakala 1,114 kes merupakan bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan:Vaksinasi bersejarah bermula, Muhyiddin selesai disuntik dos pertama

Muhyiddin minta rakyat mendaftar untuk suntikan vaksin

Mengenai kes kematian pula, Noor Hisham berkata, kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tujuh kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Sabah, Terengganu, dan Pulau Pinang.

“Sebanyak 11 kes kematian melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, terdapat lapan kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan tujuh kluster berkaitan tempat kerja dan satu kluster melibatkan komuniti.

Tiga daripadanya adalah di Johor, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Perak, Sabah dan Selangor.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.