
UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta), syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur terkemuka di rantau ini, telah melancarkan program saringan COVID-19 untuk semua pekerja barisan hadapannya yang akan melibatkan 3,755 warga kerja di 31 lokasi seluruh negara.
Program itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab korporat syarikat terhadap warga kerja dan para pelanggannya untuk memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa perkhidmatan yang disampaikan oleh syarikat itu adalah mengikut langkah-langkah keselamatan dan protokol kesihatan semasa.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, warga kerja UEM Adgenta di barisan hadapan bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan penting dalam pelbagai infrastruktur di bawah jagaan kami seperti hospital-hospital, lebuh raya, pejabat-pejabat dan aset-aset industri lain.

“Oleh sebab itu, kami ingin memupuk keyakinan para pelanggan kami menerusi pelbagai usaha proaktif yang dijalankan seperti program saringan ini, dan kami sentiasa komited untuk memainkan peranan yang efektif dalam mengharungi pasca pandemik ini.
“Kami turut menawarkan penyelesaian yang terbaik kepada pasaran dalam menangani wabak koronavirus, agar semua sektor perniagaan dapat terus beroperasi dengan selamat dan kesejahteraan warga kerja mereka sentiasa terjamin, terutama di kala negara sedang giat berusaha untuk meningkatkan aktiviti ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Program saringan selama sebulan ini dijangka melibatkan 3,755 orang warga kerja UEM Edgenta di 31 buah lokasi merentasi seluruh negara dan akan dikendalikan melalui platform klinik maya ‘QuickMed’, yang dilancarkan oleh syarikat baru-baru ini, di mana aplikasi ini menawarkan alternatif untuk penyelesaian penjagaan kesihatan secara digital kepada masyarakat.
BERITA BERKAITAN Kes baharu melonjak 3,545, N. Sembilan lebih 1,000 kes
QuickMed direka untuk menghubungkan para doktor dan pesakit serta menyediakan kemudahan kepada para pengguna terhadap ekosistem penjagaan kesihatan primer yang lengkap secara dalam talian.
Mengulas kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Khairy Jamaluddin yang juga merupakan Menteri Penyelaras untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan baru-baru ini yang menyatakan pekerja pembersihan hospital dikenal pasti sebagai penerima awal vaksin COVID-19, Syahrunizam berkata; “Semua rakyat Malaysia amat teruja dan ternanti-nanti kehadiran vaksin COVID-19, termasuklah kami.
“Alhamdulillah, kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan berita baik bahawa warga kerja kami di bahagian Healthcare Support mungkin antara penerima vaksin COVID-19 pada fasa pertama ini.”
Bagaimanapun, katanya, program saringan UEM Edgenta di seluruh negara akan tetap diteruskan kerana syarikat akan menggunakan setiap sumber yang ada untuk bersama-bersama berusaha memerangi wabak koronavirus ini.
UEM Edgenta menawarkan perkhidmatan saringan secara pandu lalu dan di pusat-pusat saringan COVID-19 yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Perkhidmatan ini merupakan sebahagian daripada rangkaian penyelesaian perniagaan COVID-19 secara menyeluruh yang memberi tumpuan kepada keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Orang ramai dialu-alukan untuk menikmati kemudahan perkhidmatan saringan pandu lalu ini di lokasi perkhidmatannya di Selangor (Jalan Universiti, Petaling Jaya) dan Melaka (Jalan Taming Sari).
Maklumat lanjut mengenai program saringan anjuran UEM Edgenta untuk organisasi korporat dan individu serta penyelesaian perniagaan COVID-19, bolehlah merujuk di www.uemedgenta.com.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi 03-2773 3888 atau e-mel [email protected]. – UtusanTV
angan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.