Untung selepas cukai TNB susut 19% kepada RM3.6 bilion

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

TENAGA Nasional Berhad (TNB) terus berdaya tahan dalam persekitaran mencabar walaupun mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) lebih rendah iaitu RM3.6 bilion dalam tahun kewangan 2020.

Prestasi kewangan yang direkodkan itu menyusut sebanyak 19 peratus berbanding sebanyak RM4.45 bilion dalam tahun kewangan sebelumnya.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (gambar), keuntungan rendah itu adalah kesan daripada Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 berjumlah RM613.4 juta, pendapatan pembiayaan rendah dan diskaun bernilai RM250 juta yang ditawarkan kepada pelanggan sebagai sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Pada masa sama, Amir Hamzah memberitahu, penyusutan keuntungan juga didorong kesan teruk akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyekat aktiviti ekonomi.

“Bagaimanapun, Kumpulan telah menunjukkan daya tahan di sebalik cabaran hasil kerjasama padu dan disiplin 35,000 warga kerja TNB yang berpaksikan komitmen melaksanakan pelan strategik 10 tahun iaitu Reimagining TNB.

“Dari segi kutipan, kami menyaksikan peningkatan pada suku terakhir 2020 dengan kadar kecekapan kutipan pada 97 peratus dalam bulan Disember berbanding 87 peratus dalam bulan April. Ia adalah petanda baik proses pemulihan secara berperingkat apabila aktiviti ekonomi bermula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: TNB pastikan bekalan elektrik stabil di pusat simpanan vaksin

Baharin terajui TNB, 36 tahun berkhidmat dari jurutera kepada CEO

Pendapatan TNB turut berkurang sebanyak 13.7 peratus kepada RM44 bilion tahun lalu daripada RM50.9 bilion pada 2019 berikutan jualan elektrik lebih rendah dan pelarasan pelepasan kos tidak seimbang (ICPT).

Pelarasan ICPT sebanyak RM3 bilion adalah disebabkan harga bahan api yang rendah berbanding kedudukan surcaj RM1.9 bilion pada tahun kewangan 2019.

Jualan elektrik di peringkat Kumpulan turut merosot 5.1 peratus kepada 117,003.6 GWj daripada 123,252 GWJ pada tahun 2019 berpunca daripada permintaan rendah di sektor industri dan komersial akibat kelembapan ekonomi.

Mengulas mengenai prospek tahun 2021, TNB memberitahu, Lembaga Pengarah turut menjangkakan proses pemulihan Kumpulan yang dicatatkan pada separuh kedua tahun kewangan 2020 akan berterusan walaupun berdepan beberapa cabaran ekoran pelaksanaan semula PKP.

Bagaimanapun, TNB berkata, kesannya dapat dikurangkan kerana kebanyakan aktiviti ekonomi kekal beroperasi dengan Kumpulan juga mengambil langkah berhemah dari segi keperluan operasi dan kewangan untuk memastikan tetap berdaya tahan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

200 penerima STR dapat ganjaran Kempen BSN SSP, BSN GIRO-i 2025

SERAMAI 200 pelanggan Bank Simpanan Nasional (BSN), terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), memenangi pelbagai hadiah menarik dan...

More Articles Like This