Wakil rakyat boleh hilang kelayakan jika langgar SOP – Najib

0
34
ingkar sop
Anggota polis membuat pemeriksaan ke atas kenderaan yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) ketika Perintah kawalan Pergerakan (PKP) di Plaza Tol Setia Alam, Shah Alam. GAMBAR: Abd Razak Aid


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mencadangkan supaya kerajaan menggunakan hukuman secara progresif bagi mereka yang melanggarkan SOP.

Bekas Perdana Menteri itu yang menyokong, hukuman berat kepada pesalah tersebut mengingatkan rakyat tentu akan marah jika dwi standard antara hukuman pada rakyat biasa dengan ahli politik.

‘’Ia menjadi lagi parah bagi wakil rakyat sebab sebarang denda yang melebihi RM3,000 akan menyebabkan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat,’’ katanya melalui Facebook beliau.

Sehubungan itu bekas Perdana Menteri berkata, hukuman progresif diguna pakai oleh beberapa negara lain dan diterima rakyat di sana sebab tiada sesiapa akan bersimpati kepada pesalah degil yang berulang-kali melanggar SOP.

‘’Tapi jika terus didenda RM10,000 bagi kesalahan pertama, ramai tidak akan berpuas hati. SOP juga patut konsisten dan tidak boleh sering flip-flop sehingga pegawai penguatkuasa dan rakyat pening kepala,’’ katanya.

Beliau berkata, bukan semua SOP PKP adalah sama serius dan tidak patut dipukul rata.

‘’Misalnya tidak pakai/salah pakai mask, lupa scan MySejahtera, gagal mematuhi penjarakan fizikal atau keluar rumah tanpa alasan kukuh berbeza dengan ingkar kuarantin wajib, potong gelang kuarantin, rentas negeri tanpa kebenaran, gagal melapor diri sebagai kontak rapat kes positif atau berpesta ketum beramai-ramai di hotel/rumah sewa.

‘’Bagi kesalahan yang kurang serius melibatkan bilangan rakyat paling ramai yang mungkin berpunca daripada kesilapan tidak sengaja, hukumannya perlu kepada pengajaran dan perlu dinaikkan secara progresif – bukan untuk memufliskan rakyat,’’ katanya.

Najib berkata, sebagai contoh bagi kesalahan kurang serious, dendanya boleh dinaikkan secara progresif.

Kesalahan pertama: RM1,000, kesalahan kedua (RM3,000), kesalahan ketiga (RM6,000), kesalahan keempat dan seterusnya RM10,000.

Semalam, kerajaan mengumumkan individu yang melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac 2021.\

Perkara itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam portal rasmi Jabatan Peguam Negara.

Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP boleh didenda sehingga RM50,000.