PKPD di empat Felda, PKP di Nabawan

0
485

EMPAT kawasan Felda yang terletak di Maran, Pahang akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengawal penularan kes Covid-19 di kesemua kawasan tersebut. 

Ia selepas sebanyak 46 kes positif Covid-19 dikesan melibatkan kluster berkenaan. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang akan dilaksanakan selama 14 hari bermula esok itu adalah melibatkan Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang. 

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol di Maran, Pahang bermula 2 sehingga 15 Mac 2021. 

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes-kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan memastikan warga Felda Jengka 1, 2, 7 dan Ulu Jempol yang berisiko dijangkiti kekal berada di dalam kawasan PKPD,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Baca artikel berkaitan: Lagi asrama pekerja dikenakan PKPD di Perak – Ismail Sabri

203 individu ditahan rentas daerah/negeri tanpa kebenaran – Ismail Sabri

Pada masa sama, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan PKP di daerah Nabawan, Sabah susulan peningkatan kes secara mendadak yang melibatkan kluster di daerah berkenaan dengan kadar kebolehjangkitan tinggi. 

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKP adalah untuk mengawal pergerakan penduduk di daerah tersebut dan seterusnya untuk mengawal penularan jangkitan dalam komuniti. 

“Sehingga 28 Februari, secara kumulatif sebanyak 177 kes positif telah dilaporkan yang melibatkan 15 buah kampung di daerah berkenaan. 

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di daerah Nabawan, Sabah bermula 3 Mac sehingga 16 Mac 2021,” jelas beliau. 

Dalam pada itu, tiga lokaliti yang sebelum ini diletakkan di bawah PKPD iaitu Penjara Sungai Udang dan Kuarters Kakitangan, Melaka; Kampung Sungai Maong, Kuching, Sarawak dan Taman Univista, Kota Samarahan, Sarawak diumumkan tamat bermula esok seperti dijadualkan.

Ismail Sabri berkata, KKM telah melaksanakan 1,701 ujian saringan di Penjara Sungai Udang dan Kuarters Kakitangan dengan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 388 kes telah direkodkan. 

Menurutnya, KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti berkenaan menunjukkan trend penurunan serta tiada lagi penularan kes dalam kalangan tahanan dan kakitangan. 

Bagi PKPD di Kampung Sungai Maong, Kuching, Ismail Sabri berkata KKM sudah melaksanakan 427 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 40 kes direkodkan.

KKM turut mengesahkan kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 23 Februari lalu dan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

Untuk Taman Univista, Kota Samarahan, hingga kini KKM melaksanakan 700 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 57 kes direkodkan.

“KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan serta kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 23 Februari lalu iaitu sebanyak 4 kes positif,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram